Table4three – No pessimist, no idealist

Just another WordPress.com weblog

Istiadat Pertabalan Sultan Perak – Antara adat dan hukum syariat.

Ketika membincangkan adat istiadat pertabalan Ke Bawah Duli Sultan Perak, saya sangat terkesima dengan beberapa adat dahulu kala yang masih hidup sehingga kini. Namun begitu, ada antara adat-adat itu berbau syirik, lebih-lebih lagi melibatkan penggunaan nama-nama sakti dunia makhluk halus. Namun begitu, moga-moga diharapkan segala majlis istiadat itu hanyalah sekadar adat mengikut tradisi kesultanan Perak, tanpa dicampur aduk dengan kepercayaan tahyul dan penuh mistik. Saya pasti Mufti Negeri Perak yang turut sama terlibat dalam istiadat itu lebih mengetahui soal hukum. Tapi benarkah begitu? Atau memang terdapat unsur-unsur mistik yang percaya “kalau tak buat itu tak boleh nanti penunggu marah” atau “kalau tenggelam keris itu maka Sultan tak berdaulat.” Kepercayaan-kepercayaan begini jelas bercanggah dengan syariat Islam dan mestilah dijauhi. Tetapi adat yang diwarasi seharusnya terus dipelihara agar menjadi lambang kemasyhuran kesultanan negeri Perak. Bayangkan kalau pertabalan Sultan hanya sekadar angkat sumpah dan tanda tangan sekeping kertas, nampak kurang hebat lah kan.

Suka untuk saya kongsikan bersama anda siri-siri istiadat yang bakal berlangsung dalam masa terdekat. Untuk makluman, majlis istiadat yang berlangsung tempoh hari di hadapan jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah bukanlah satu istiadat pertabalan sebaliknya hanyalah istiadat pengisytiharan Sultan yang baru dilantik oleh Dewan Negara Negeri Perak selepas kemangkatan Sultan, yang juga merupakan satu proses tradisi dalam kesultanan Perak. Selepas kemangkatan Sultan, Dewan Negera Negeri Perak yang dianggotai bakal-bakal Sultan (Raja Muda dan Raja Di-Hilir), seorang wakil Raja-Raja Bergelar (dari kalangan Raja Kecil Besar, Raja Kecil Sulong, Raja Kecil Tengah dan Raja Kecil Bongsu), Menteri Besar, Orang Besar Berempat, Orang Besar Delapan dan Mufti sebagai ahli-ahli rasmi dan sebelas ‘orang tua’ (ahli kerabat) dan seorang yang bukan Melayu sebagai ahli-ahli bukan rasmi akan bermesyuarat untuk menentukan Sultan yang seterusnya.

Artikel ini ditulis dengan rujukan utama dari Portal Rasmi Pejabat DYMM Sultan Perak dan rujukan internet lain.

BERMULANYA KESULTANAN PERAK

Negeri Perak mempunyai sejarah kesultanan yang begitu unik, dan sehingga ke hari ini masih meneruskan tradisi dari keturunan Kesultanan Melaka. Menurut catatan sejarah, tidak beberapa lama selepas Tun Saban (anak Bendahara Tun Perak Melaka) meninggalkan Kampar (Sumatera) untuk kembali ke Tanah Melayu, beliau telah membuka sebuah kampung bernama Relap Reli dan menjadi ketua di Belum seterusnya mengangkat adik perempuannya bernama Tun Perabu menjadi Ketua di Temong dengan gelaran Tok Temong. Ketika itu, Perak di bawah naungan Kesultanan Melaka masih belum beraja. Kebanyakkan penduduknya terdiri daripada pedagang dari Melaka, Selangor, Sial, Kampar dan Jambi. Di antara penduduk-penduduk ini ada seorang perempuan bernama Tok Masuka yang berasal dari Daik memelihara seorang bangsa Temusai bernama Nakhoda Kassim. Beliau telah berwasiat tempat beliau digantikan dengan seorang Raja yang berasal dari anak cucu Sang Sapurba supaya zuriat Raja-Raja yang turun dari Bukit Si-Gantung tiada terputus di Tanah Melayu. Tun Saban dan Nakhoda Kassim pun berangkat ke Kampar mengadap Sultan Mahmud Shah (Sultan Melaka terakhir sebelum Melaka jatuh ke tangan Portugis) memohon supaya seorang putera baginda menjadi Sultan Perak. Maka Sultan Mahmud Shah telah meminta putera keduanya Raja Mudzaffar menjadi sultan Perak pada tahun 1528. Raja Mudzaffar dikurniakan alat kebesaran iaitu sebilah pedang Cura Si Manja Kini, sebilah keris, sebuah cap yang berlorek perkataan “Sultan Muhammad Shah Dzil Allah Fil-Alam”, nobat dan surat Chiri. Tidak lama kemudian, Raja Mudzaffar belayar bersama isterinya Tun Terang, anak lelaki Raja Mansur dan pengiring termasuk Megat Teraweh Ibni Daulat Pagar Ruyong.

Akhirnya, bahtera yang dinaiki rombongannya tiba di Beting Beras Basah di Kuala Sungai Perak berdekatan dengan Bagan Datoh. Dengan takdir tuhan, bahteranya tersangkut pada beting terbabit. Walaupun pelbagai usaha dilakukan (ada cerita mengatakan beliau membuang segala harta ke dalam laut untuk meringankan kapal), kapal itu tetap tersangkut. Sebalik melihat masalah itu, Raja Mudzaffar terus berkata:

“Sekongkong tanah Minangkabau

Selilit Pulau Perca

Di lengkong ular Saktimuna

Perpisahan Beta di Selat Melaka

Jika sah Beta Raja Berdaulat

Lepaslah sekalian Malapetaka”

Selepas seruan itu, bahtera terus bergerak. Orang-Orang Besar dan beribu-ribu rakyat negeri Perak yang menyambut Baginda berteriak “Daulat Tuanku” tiga kali berturut-turut. Kemudian Baginda diarak mudik Sungai Perak sehingga ke Tanah Abang untuk ditabalkan menjadi Sultan Perak yang pertama.

Tok Temong telah membawa persembahan sejenis tangkal azimat bernama Mastika Embun dan telah dijadikan salah satu alat kebesaran Diraja Perak dan digunakan dalam Istiadat Pertabalan Diraja Perak. Sebagai balasan, Sultan telah mengurniakan sebuah Puan Bujur (bekas sireh) tetapi dikembalikan kerana Tok Temong hanya berkehendakkan satu ikrar janji daripada Sultan iaitu Baginda serta anak cucu hendaklah memerintah di sebelah kanan mudik Sungai Perak dan Tok Temong serta anak cucu memerintah di sebelah kiri. Dari itu, didapati kota-kota istana dan makan Sultan-Sultan Perak di zaman dahulu terletak di sebelah kanan mudik Sungai Perak sehingga pemerintahan Almarhum Sultan Idsri Murshidul ‘adzam Shah yang mula-mula membuat kota istana dan makam disebelah kiri. Tok Temong meninggal di Kampung Temong dan dimakamkan di sana. Sehingga kini makamnya diziarahi tiap-tiap Sultan Perak selepas Baginda ditabalkan.

TURUTAN PERLANTIKAN SULTAN

Hirarki sistem pemerintahan berajanya berlainan dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Setiap bakal sultan akan melalui tangga-tangga raja bergelar menerusi kenaikan pangkat sebelum menduduki tahta utama negeri dan tidak mengikut sistem turun menurun dari Raja Pemerintah kepada puteranya. Buat masa ini Negeri Perak mempunyai tiga Keluarga diRaja yang memerintah secara giliran iaitu dari Keluarga Iskandar, Yusuf dan Abdullah.

Mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, seseorang yang layak dilantik menjadi Raja Pemerintah hendaklah mempunyai zuriat yang diakui telah diperanakkan dengan jalan yang halal daripada tubuh dan darah daging Sultan yang kelapan belas. Ianya hendaklah seorang anak lelaki, cucu lelaki, cicit lelaki dan sebagainya dari sebelah pihak benih turun temurun sehingga yang akhir sekali. Undang-Undang Tubuh tidak sesekali membenarkan dan adalah diharamkan memilih dan melantik seseorang Raja Pemerintah selain daripada zuriat seumpama itu daripada Sultan kelapan belas selagi ada hidupnya seorang zuriat seumpama itu daripada Sultan tersebut dengan syarat Raja Pemerintah itu tiada mempunyai suatu cacat yang besar dan berat yang kerananya ia tidal akan diluluskan oleh Hukum Syarak menjadi seorang Raja Pemerintah. Sekiranya pada mana-mana masa tiada lagi zuriat daripada benih Sultan yang kelapan belas, maka wajiblah dipilih dan dilantik sebagai seorang Raja Pemetintah dari antara zuriat-zuriat daripada benih Sultan yang Pertama. Jikalau sekiranya tiada seorang yang layak dilantik menjadi Raja Pemerintah, maka pilihan dari lantikan Raja Pemerintah hendaklah diserahkan kepada timbangan, hukuman dan keputusan Dewan Negara.

Setelah Raja Pemerintah dimashyurkan, dua orang Bakal Sultan hendaklah dilantik oleh Raja Pemerintah dengan nasihat Dewan Negara. Dua gelaran yang dipegang oleh Bakal Sultan itu ialah Raja Muda dan Raja diHilir. Walau bagaimanapun sebelum seseorang itu dilantik menjadi Bakal Sultan, seseorang itu pada kebiasaannya hendaklah terlebih dahulu memegang jawatan Raja-Raja Bergelar. Gelaran yang diberi kepada Raja-Raja Bergelar adalah seperti berikut,

 1. Raja Kecil Bongsu.

2. Raja Kecil Tengah

3. Raja Kecil Sulong
4. Raja Kecil Besar
5. Raja Di Hilir
6. Raja Muda
7. Sultan dan Yang DiPertuan.

Pada kebiasaannya Raja Muda akan dilantik menjadi Raja Pemerintah satelah mangkatnya Raja Pemerintah (Sultan) dan Raja Di Hilir akan mengambil tempat ayng dikosongkan oleh Raja Muda dan tempat Raja Di Hilir pula diganti oleh Raja Kecil Besar dan seterusnya sehingga kejawatan Raja Kecil Bongsu menjadi kosong. Pada lazimnya Raja Pemerintah yang baru akan mengurniakan gelaran Raja Kecil Bongsu kepada putera sulong Baginda.

Walau bagaimana pun, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak menyatakan bahawa di dalam pemilihan Bakal Sultan, pertimbangan pertama hendaklah diberikan kepada calon yang paling dekat mengikut tertib susunan kedudukan Bakal Sultan dan kemudian barulah kepada tiap-tiap orang Raja-Raja Bergelar dengan tidak mengikut tertib kedudukannya sebelum menimbangkan seseorang daripada peringkat atas peringkat am daripada mereka yang harus dipilih menjadi Raja Pemerintah. Pada Mac 2010, Sultan Azlan Shah berkenan menaikkan Raja Kechil Tengah Datuk Seri Raja Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris kepada Raja Kechil Besar dan tempatnya diganti anak lelaki kedua Sultan Azlan Shah iaitu Datuk Seri Raja Ashman Shah ibni Sultan Azlan Shah dan anaknya Raja Ahmad Nazim Azlan Shah ibni Raja Ashman Shah sebagai Raja Kecil Bongsu. Adakah perlantikan-perlantikan ini mengikut turutan seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak? Saya tinggalkan persoalan ini kepada anda semua selidiki, kerana perlantikan Raja Muda Perak satu ketika dahulu juga turut melalui persoalan yang sama.

ADAT ISTIADAT PERTABALAN SULTAN PERAK

Selain daripada istiadat pertabalan rasmi di Balairong Seri Istana Iskandariah Bukit Chandan, istiadat pertabalan Sultan Perak juga memerlukan beberapa aktiviti luar yang cukup menarik mengikut adat istiadat yang diwarisi sejak pertabalan Sultan pertama berdasarkan sejarah di atas dibahagikan kepada beberapa istiadat iaitu Istiadat Tabal Adat, Tabal Pusaka atau Tabal Jin, Menziarah Makam-Makam sehingga Beting Beras Basah.

Istiadat Tabal Adat

Di Istana Iskandariah, istiadat Tabal Adat dimulakan dengan Dato’ Pengelola Bijaya diiringi Mufi Kerajaan Negeri membawa Al Quran bersama Raja Chik Muda Pawang Diraja membawa Pedang Cura Si Manja Kini didahului Panglima Dalam diapit Panglima Perang Kiri dan Kanan serta Bentara bentara. Baginda Sultan menerima pedang tersebut dan menghunus lalu mengucup. Setelah itu, Toh Seri Nara Diraja masuk mempersembahkan Mastika Embun dan menyunting Cap Halilintar ke telinga kanan Duli membisikkan “Rahsia Nisab Sultan I” diikuti pengisytiharan Pemasyuran Pertabalan oleh Orang Kaya Bendaha Seri Maharaja. Istiadat diteruskan dengan pertabalan DYMM Raja Permaisuri.

Istiadat Tabal Pusaka (Tabal Jin)

Istiadat Tabal Pusaka (Tabal Jin) dimulakan dengan paluan Nobat Diraja pada sebelah senja sehari selepas Istiadat Tabal Adat disempurnakan. Istiadat ini dilakukan pada waktu malam. Pawang Diraja menatang Pedang Cura Simanja Kini, bersama Toh Seri Nara Diraja menatang Pontoh Bernaga dan Pontoh Ular Lidi didalam talam berlapikkan kain kuning. Kemudian diikuti pula Bentara Toh Ratna Senari dan Bentara Toh Ratna Wati mengadap membawa Perkakas Istiadat Merenjis diikuti Toh Setia Guna (Ketua Nobat) bersama ahli Nobat Diraja masuk ke Balairong Seri untuk memulakan “istiadat memulih” perkakas kerajaan dan perkakas nobat diraja dengan merenjis tepung tawar. Setelah selesai, Sohibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri akan menyempurnakan bacaan doa selamat.

Selepas itu upacara “Bersiram Tabal (Mandi Sampat)” dimulakan Pawang Diraja dari awal sehingga selesai. Air bersiram ini diambil dari Tujuh Kuala Sungai Perak yang mempunyai istiadat tersendiri untuk mengambil air ini. Baca di bawah untuk keterangan lanjut. Kain putih direntangkan dan daun nyiur muda bentuk jari lipan ditaruhkan ke atas kain putih diregang oleh Toh-Toh Puan ditiap penjuru. 7 geluk ari dari 7 kuala sungai Perak disiram dan nobat dipalu sepanjang istiadat bersiram tabal. Setelah selesai, baginda berdua akan menyalin pakaian dan berangkat turun dari Penterakna Seri Pancaa Persada berselimut kain benang emas dan diarak balik ke istana.

Setelah menukar pakaian, Baginda berangkat masuk Balairong Seri dan bersemayam di atas Singgahsana. Pada waktu istiada ini Nobat Diraja memainkan lagu antara empat hingga sembilan lagu. Toh Setia Guna (Ketua Nobat) akan memerhatikan gerak geri Paduka Seri Sultan untuk mengetahui kedaulatan seseorang sultan. Mengikut adat, sekiranya Baginda dapat bertahan lama diatas Singgahsana (iaitu lebih tujuh lagu nobat) ini menunjukkan Baginda direstui Jin-Jin Kerajaan dan baginda akan memerintah lama atau panjang umur. Akan tetapi, sekiranya Baginda hanya bertahan empat atau lima lagu, petanda pendek umur. Toh Setia Guna akan memberi isyarat untuk nobat berhenti sekiranya Baginda Sultan kelihatan resah gelisah di atas Peterakna Singgahsana.

Sewaktu nobat dipalu, Pedang Cura Simanja Kini akan bergerak-gerak dengan sendiri seakan-akan hendak keluar dari sarungnya. Ini menunjukkan Jin Kerajaan berserta dalam Istiadat Tabal Jin dan merestui pertabalan Baginda. Istiadat Tabal Jin selamat disempurnakan selepas upacara Santapan Nasi Berastonaka dengan bacaan doa selamat. Istiadat Tabal Jin hendaklah disempurnakan mengikut Adat Istiadat Pertabalan yang asalnya tanpa menukar ciri-ciri adat asal barulah diketahui sama ada direstui Jin Kerajaan Perak yang akan mendampingi Baginda. Kalau tidak, istiadat tersebut hanyalah satu istiadat biasa.

Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal

Istiadat mengambil air untuk kegunaan Kebawah Duli Berdua Bersiram Tabal dimulakan dengan perarakan berkereta dari Pintu Besar Istana Iskandariah bergerak menuju Tebing Sungai Perak diiringi nobat. Perarakan Tok Setia Guna, Panglima Besar dan Panglima-Panglima, Toh-Toh Seri Nara di-Raja, Yang Mulia Raja Chik Muda, Pawang di-Raja, Bentara-Bentara, 7 orang Bomoh yang membawa perkakas istiadat dan 16 orang Jejawat Berlembing. Perkakas istiadat yang diarakkan ialah 16 Geluk Mas Perak dihiasi dengan daun-daun nyiur muda berjari lipan, Bekas Perasap, Bekas Beras Kunyit, Bekas Beras Basah, Bekas Bertih, Bekas Tepung Tawar, Bekas Air Sintuk, Bekas Air Limau, Bekas Air Bunga Panca Bicara dan Bekas Kemenyan.

Di tebing Sungai Perak perkakas istiadat dibawa naik ke atas bot. Untuk upacara ini Panglima-panglima dan Jejawat Berlembing serta Pasukan Nobat di-Raja tidak mengikuti bersama rombongan. Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal dimulakan di Kuala Sungai Kangsar oleh Yang Mulia Raja Chik Muda, Pawang di-Raja dan dibantu oleh Toh Seri Nara di-Raja serta Bentara-bentara dengan mengusap kemenyan, menabur Beras Kunyit dan merenjis Tepung Tawar di Kuala Sungai, selepas itu barulah diambil air dan dimasukkan ke dalam sebuah Geluk.

Nobat hanya dipalu semasa Istiadat Pertama di Kuala Sungai Kangsar. Setelah itu rombongan akan bergerak ke Kuala-Kuala Sungai yang lain; iaitu

2 – Kuala Sungai Chepias,
3 – Kuala Sungai Sayong,
4 – Kuala Sungai Hitam,
5 – Kuala Sungai Chermin,
6 – Kuala Sungai Buaya,
7 – Kuala Sungai Menora,

Setelah selesai kesemua 16 Geluk, akan dijaga dengan baik dan semua rombongan kembali semula ke Pengkalan disambut dengan penuh Istiadat. Setelah sampai di Balai Panca Persada semua Jejawat Berlembing berbaris semula. Yang Mulia Raja Chik Muda, Pawang di-Raja, Toh Seri Nara di-Raja, Bentara-Bentara dan Bomoh-bomoh membawa perkakas Istiadat naik ke Balai Panca Persada disambut oleh Panglima Dalam dan Bentara-Bentara Perempuan, untuk disimpan.

Menziarahi Makam Diraja dan Beting Beras Basah

Sehari selepas Tabal Paduka Seri Sultan dan Raja Permaisuri serta pengiring-pengiring Baginda berdua akan menziarahi Makam di-Raja di seluruh Negeri Perak. Di antaranya termasuklah Makam Tok Temong, Makam Kota Lama Kanan, Makam Sayong, Makam di-Raja Bukit Chandan dan Makam Teja. Kemudian Baginda berdua akan berangkat menaiki Balai Gambang bernama “Chempaka Sari” lalu menghilir untuk menziarahi Makam Marhum-marhum yang terdahulu yang dimakamkan di sepanjang Sungai Perak hingga ke Teluk Intan.

Selepas mendarat di Teluk Intan, Paduka Seri Sultan akan kemudiannya berangkat ke Beting Beras Basah sementara Raja Permaisuri akan beristirehat di Teluk Intan dengan membawa bersama Baginda Alat-alat Perkakas Kerajaan. Mengikut adat, kaum wanita tidak boleh beserta Paduka Seri Sultan ke Beting Beras Basah dan Alat-alat Perkakas Kerajaan tidak boleh dibawa ke laut.

Beting Beras Basah ialah tempat mula-mula Sultan Mudzaffar Shah iaitu Sultan yang pertama negeri ini, berhenti tatkala sampai dari Kampar, Sumatera pada tahun 1528. Istiadat menziarahi Makam-makam berakhir di Beting Beras Basah dengan Sultan membasuh muka dan mencelup kaki serta doa kesyukuran.

istiadat-pertabalan-sultan-perak-di-beting-beras-basah

June 2, 2014 Posted by | Uncategorized | Leave a comment

Agama tuding menuding

Rehat sebentar minda kita dari kegusaran kehilangan pesawat MH370 kerana Melayu Islam di Malaysia kini lebih gusar dengan perkembangan terbaru kematian beberapa remaja Islam disebabkan pengambilan dadah berlebihan ketika berlangsungnya konsert Future Music Festival Asia minggu lalu. Walau apa pun ulasan tentang kematian tersebut, untuk menghormati arwah dan juga keluarga arwah, saya mohon orang ramai untuk menghentikan spekulasi.

Lebih penting lagi, saya ingin fokuskan fenomena masyarakat kita sendiri yang acapkali menuding jari menyalahkan pihak itu dan ini bila masa sesuatu musibah itu menimpa. Beberapa hari lepas penuh di laman sosial pelbagai pihak menyalahkan kerajaan dan pihak berkuasa agama yang tidak mengambil tindakan. Maka bergondol-gondollah pak lebai dan alim ulama memetik dalil-dalil dari Al-Quran untuk menguatkan hujah. Beban terus diletakkan kepada pemerintah.

Ya memang benar. Saya akui dalam hal ini pihak pemerintah telah gagal untuk menjalankan tanggungjawab dengan baik. Tetapi, umum perlu memahami peranan kerajaan dalam hal ini. Saya sudah menyuarakan kebimbangan ini lebih 5 tahun yang lalu. Budaya berpesta berparti liar ini sebenarnya disuburkan oleh bekas Menteri Perlancongan Dato Seri Dr Rais Yatim yang ironinya kini menjadi Presiden sebuah universiti Islam terulung di Malaysia. Di zaman beliaulah, banyak pesta-pesta bertaraf antarabangsa dibawa masuk ke Malaysia untuk mempromosi perlancongan Malaysia dipersada dunia. Dalam konteks ini, beliau telah menjalankan tanggungjawab beliau sebagai Menteri Perlancongan dengan cemerlang, dan legasi ini diteruskan oleh Menteri Perlancongan sekarang Nazri Aziz. Tetapi, apa pula tanggung jawab beliau sebagai seorang menteri muslim?

Dari kaca mata kerajaan, pesta hiburan dan konsert-konsert sedemikian tidak ada salahnya. Ia tidak langsung bertentangan dengan (1) Perlembagaan Malaysia mahupun (2) undang-undang negara. Ia juga langsung tidak dianggap sebagai bertentangan dengan (3) norma budaya masyarakat setempat. Di dalam perlembagaan tiada langsung peruntukkan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang melarang sebarang bentuk pergaulan di pesta atau konsert. Begitu juga tidak wujud satu peruntukkan (setahu saya, tapi kalau ada mohon kongsi) di dalam undang-undang di peringkat persekutuan yang tidak membenarkan anak Melayu Islam menyertai apa-apa konsert atau pesta di Malaysia. Cuma, terdapat Enakmen Kawalan Hiburan 1998 di peringkat negeri Kelantan yang menyekat pengaruh budaya hedonisme dari menular di sana. Dan sudah berpuluh tahun lamanya konsert-konsert sebegini dianjurkan di Malaysia, malah Malaysia merupakan antara destinasi pilihan penganjur dunia untuk mengadakan pesta kemaksiatan begini. Artis-artis terkemuka lebih gemar bertumpu di Malaysia daripada membuat konsert di Bangkok, Singapura atau Indonesia. Ini sudah menjadi darah daging dan terbudaya dalam masyarakat Malaysia.

Jadi dimana salahnya? Ambil telefon pintar anda yang paling canggih, buka kamera (lagi bagus kalau ada front ‘selfie’ camera) ambil gambar dan lihat siapa di dalamnya. Ya! Saya dan kamu. KITA. Seminggu yang lalu berlangsung pesta di Electronic Qash di Sepang sebagai permulaan atau ‘teaser’ kepada pesta lebih besar A State of Trance bersama FMFA di Bukit Jalil. 3 minggu sebelum itu berlangsung Cold Harbour Night yang merupakan konsert pertama seumpamanya di Asia. Juga berlangsung di Kuala Lumpur. 3 bulan lepas berlangsung pula Booyah – Eat Sleep Rave Repeat. Baik, cukup setakat itu. Info ini saya peroleh daripada laman Instagram seorang kenalan. Apa yang ingin saya sampaikan adalah FMFA bukan yang pertama di Malaysia, tetapi hampir setiap bulan jika tidak setiap minggu pelbagai pesta kemaksiatan yang melibatkan anak muda bercampur gaul dengan bebas berlangsung di tanah yang majoritinya umat manusia yang masih bertuhan.

Kenyataan ini boleh terus dirujuk kepada perbincangan saya sebelum ini; berpesta sudah terbudaya dan menjadi satu norma dalam masyarakat kita. Cuma, FMFA ada yang mati. Maka ramailah yang terbuka mata. Mana peranan kita? Kalau benar tok lebai alim ulama kita ikhlas, termasuklah ustaz-ustaz segera di Facebook benar-benar ikhlas dalam dakwah, perlunya langkah yang lebih drastik untuk menyampaikan mesej jelas kepada kerajaan bahawa ini bukan sebahagian budaya kita. Kerana undang-undang sesebuah negara itu dilahirkan atas nilai budaya tempatan. Sebab itu undang-undang mana-mana negara di dunia tidak sama. Berbeza mengikut budaya. Di Malaysia tidak menjadi masalah untuk memukul anak, tetapi tidak di Sweden. Di negara luar, homoseksual sudah terbudaya dan normal bagi mereka, tetapi tidak di Malaysia. Begitulah peranan budaya dan norma masyarakat dihubungkait dengan undang-undang.

Oleh sebab itu, berpesta berjoget berdansa sudah terbudaya dalam masyarakat di Malaysia. Sejak merdeka lagi, segala mak nenek sambutan perlu ada pesta. Kalau tengok filem P. Ramlee penuh pelbagai aksi malam pesta muda mudi, majlis tari menari yang lengkap dengan air kencing syaiton nirrajim. Di zaman moden ini, bukan sambutan ulang tahun namanya kalau tidak ada konsert besar-besaran; Sambutan Kemerdekaan, Tahun Baru, Pertabalan Raja, Hari Jadi Raja, penganjuran majlis-majlis besar. Inilah ‘terbudaya’. Jadi, untuk meletakkan sesuatu undang-undang menghad atau menyekat akan menjadi amat sukar.

KECUALI, wujud tentangan yang kuat dari kalangan masyarakat yang menyuarakan bahawa ini bukanlah budaya kita. Hingga kini masih belum ada. Yang ada, tentangan yang tenggelam timbul di laman sosial, bila ada isu barulah ‘pakar-pakar’ ini hadir memberikan pendapat. Yang ada juga, ustaz-ustaz yang hanya mengecam di meja-meja kuliah masjid serata negara. Lepas habis kuliah, pak aji balik rumah singgah kedai kopi dan sambung isu yang sama. Bagus tindakan itu. Ada kesedaran. Tapi kalau setakat itu sahaja tindakannya maka kita telah gagal untuk menterjemahkan ketidakpuasan hati dan ketidakrelaan kita pada konsert-konsert yang dianjurkan. Kuasa-kuasa besar yang mewakili golongan ilmuwan agama perlu tampil memberi tekanan secara terbuka kepada kerajaan, kalau masih berdegil, mengapa tidak dijalanan.

Masakan mungkin orang kerdil seperti saya boleh membuat satu revolusi menghentikan hiburan melampau di Malaysia. Kalau benar boleh, ayuh saya ajak kalian semua turun berhimpun di perkarangan Kompleks Tabung Haji Jumaat ini seusai solat Jumaat untuk sama-sama berhimpun sebagai tanda bantahan konsert-konsert yang bakal berlangsung selepas ini. Yang lebih jelas, mana pergi badan-badan seperti Angkatan Belia Islam Malaysia, Yayasan Dakwah Islam Malaysia dan banyak lagi NGO berkepentingan agama untuk mengeluarkan suara yang lebih keras dan lantang kepada kerajaan. Tokoh agamawan seperti Ustaz Zaharuddin yang begitu sinonim dengan lama Facebooknya juga boleh turut sama melakukan inisiatif bantahan ini. Tidak cukup sekadar cakap tidak tahu.

Kalau ada Pak Aji yang kata tidak tahu, biar saya hebahkan disini. Pada 19 April ini akan berlangsung Konsert Life in Colors bertemakan permainan cat berwarna sambil berpesta. Pada yang berminat untuk melihat anak dara dan teruna kita berseluar dalam dan bercoli sahaja menari sambil disimbahi cat berwarna, anda boleh hadir beramai-ramai ke konsert ini di Litar Go-Kart Sepang. Tiket serendah RM98 untuk 2 malam berturut-turut. Lebih membanggakan Malaysia, setiap tahun kita akan menganjurkan kejohanan Formula 1 di Litar Sepang. Selepas tamat perlumbaan, konsert lepas perlumbaan “After Race Party” akan berlangsung disana menyajikan artis-artis terkemuka dari luar negara pada 30 March ini. Tiket hanya RM168 sahaja. Siapa penganjurnya? Elton John pula bakal hadir ke Genting Highlands tidak lama lagi. Meriah sungguh negara Islam Malaysia.

Selepas ini mohon moga-moga tidak ada lagi tokoh agama yang terus menuding jari sebaliknya lebih bijak bertindak. Memo bantahan boleh dihantar kepada pihak berkuasa juga kepada Paduka Seri Sultan. Artikel-artikel mengecam boleh dimuat naik di laman  sosial dan boleh dijadikan ‘viral’. Tidak cukup dengan itu, golongan ilmuwan agama ini punya hubungan rapat dengan media, boleh salurkan ketidakpuasan hati dan keprihatinan melalui media arus perdana. Kalau susah sangat, rapat umum boleh dianjurkan bagi membantah 2 konsert yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Saya mahu duduk dan lihat, apa tindakan susulan golongan ini selepas hari ini.

Yang paling kelakar semalam ketika saya menonton siaran Buletin Utama di TV3, Menteri Hal Ehwal Agama Islam di Jabatan Perdana Menteri Dato Jamil Khir Baharum dengan selamba berpendapat segala konsert-konsert hiburan di masa akan datang perlulah mendapat sokongan daripada Jakim terlebih dahulu. Saya terkejut, konsert hiburan yang bagaimana yang melibatkan artis antarabangsa yang akan diluluskan Jakim. Apakah syarat yang saya perlu patuhi sekiranya saya ingin membawa masuk Shakira atau Lady Gaga. Seharusnya, Jakim perlu menggunakan nada keras menentang apa jua bentuk penganjuran program konsert sebegini. Apa toleransi yang ada dalam agama dalam soal ini apabila melibatkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan, terdedah aurat, terkinja-kinja dan melalaikan.

Saya cuba untuk mendapatkan pandangan kenalan bukan Islam saya sekiranya saya mengesyorkan agar konsert-konsert melalaikan sebegini diharamkan terus di Malaysia kerana ia bukan budaya kita. Satu yang pasti, rakan saya tidak bersetuju kerana itu adalah budaya kita kini. Budaya berpesta adalah antara perkara untuk beristirehat melepaskan tekanan. Malah, konsert Malam Merdeka dan Tahun Baru adalah bertujuan sebagai rekreasi keluarga. Yang lebih mengejutkan saya apabila respons beliau begini, “yang mati anak melayu.” Saya terkedu. Betul juga. Yang mati tempoh hari 4 daripada 6 adalah anak melayu Islam, seorang cina dan seorang India. Yang bodohnya anak bangsa kita. Kenapa nak hukum bangsa lain dan menyekat mereka.

Sebab itu, sebagai kerajaan yang baik, keprihatinan kepada golongan bukan Islam perlu ada. Apa yang diharamkan oleh ajaran Islam mungkin dibolehkan pada agama mereka. Maka, tidak adillah sekiranya konsert ini diharamkan terus atas dasar ia bertentangan dengan syariat Islam, walhal lelaki dan perempuan berpelukan tidak menjadi masalah pada agama lain. Pendekatan toleransi ini perlu ada. Sebagai contoh, mungkin mengharamkan umat Islam daripada menyertai konsert-konsert sebegini dan dikenakan kompoun sewajarnya pada penganjur dan pengunjung sekiranya peraturan ini tidak diendahkan. Ini boleh dilaksanakan dengan enakmen syariah negeri.

Golongan cendekiawan agama perlu menukar modus operandi. Anak remaja terkinja kebanyakkan tidak ke masjid mendengar tazkirah anda. Sudah sampai masanya ustaz-ustaz turun ke lapangan. Golongan ini juga perlu berani untuk berkata benar walau pahit, daripada terus bertoleransi demi menjaga periuk nasi. Saya tidak mampu untuk berkeras kerana tiada yang mendengar. Mungkin blog ini sajalah yang paling hebat. Itupun tak ramai yang sudi membaca dan ‘share’ pada rakan-rakan. Tapi anda punya pengaruh, gunakanlah sebaiknya. Jangan terus menuding jari sana sini dan letakkan terus semua tanggungjawab itu dibahu orang lain. Jangan bawa agama menuding jari.

 

 

March 18, 2014 Posted by | Religion, Social, Uncategorized | , , , , , , , , , , , , | Leave a comment

Dun Kajang bukti kegilaan Anwar Ibrahim

Semalam Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang Lee Chin Cheh mengumumkan perletakkan jawatan sebagai ADUN kawasan itu tanpa sebarang alasan yang munasabah. Spekulasi mula timbul bahawa tindakan itu adalah gesaan Parti Keadilan Rakyat dan juga Anwar Ibrahim untuk memberi ruang kepada Anwar Ibrahim menempah kerusi di Dewan Undangan Negeri Selangor seterusnya dikatakan bakal mengambil alih kepimpinan negeri dengan menjadi Menteri Besar.

Saya tidak tahu sejauh mana desas desus ini benar, tapi kalau diambil kira perkembangan mutakhir sekurang-kurangnya khabar angin yang mengatakan Anwar bakal bertanding itu kini sudah pasti. Pagi tadi, Menteri Besar Selangor yang bukannya seorang Pengerusi Kepimpinan Negeri Selangor telah dengan semberono membuat pengumuman pasti bahawa Anwar Ibrahim bakal bertanding di DUN Kajang. Satu telah benar, kita tunggu adakah benar Anwar akan menjadi Menteri Besar. Dlam sidang media yang sama, Anwar tidak nafikan ketika ditanya media. Katakanlah Anwar Ibrahim memang berhajat untuk menjadi Menteri Besar.

Dalam beberapa artikel sebelum ini, saya seringkali mencabar kredibiliti Anwar sebagai pemimpin yang seorang pemimpin yang tidak bermaruah. Telah banyak yang beliau lakukan bertentangan dengan prinsip perjuangan sendiri dan prinsip seorang pejuang hakiki.

Ini bukan kali pertama

Kaedah menggesa seseorang meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada diri sendiri bukan perkara baru. Seawal beliau dibebaskan dari penjara, beliau telah menggesa penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk meletakkan jawatan untuk memberi ruang kepada beliau kembali aktif dalam arena politik. Kerana ketika itu beliau yakin beliau boleh buktikan kemampuan beliau memimpin pembangkang untuk memenangi pilihanraya. Malangnya, perkara itu tidak tercapai.

Kini, setelah kempunan untuk menjadi Perdana Menteri, beliau terus dahagakan kuasa dan menjadi gila dengan menggesa kerusi Kajang dikosongkan untuk memberi laluan kepada beliau meneruskan agenda peribadi beliau, tanpa memikirkan agenda rakyat.

Dalam kesungguhan pembangkang tak habis-habis menggesa kerajaan untuk kurangkan pembaziran, Anwar dengan sedar tahu bahawa mengadakan pilihanraya kecil ini merupakan pembaziran jutaan ringgit wang rakyat yang tidak diperlukan. Ya, saya tahu. Kerajaan Barisan Nasional memang banyak membazir, dan saya tidak nafikan. Tetapi, mengapa seorang pejuang seperti Anwar mahu teruskan tradisi membazir dan menjadi seperti musuh politik beliau sendiri, sedangkan beliau perlu lebih cakna tentang permasalahan kewangan negara kini.

Anwar mungkin boleh katakan, atau kebanyakkan penyokong pembangkang mungkin boleh rasionalkan tindakan ini dengan mengatakan kesan perubahan politik ini adalah untuk kebaikan rakyat. Kalau Anwar jadi MB, Selangor akan lebih makmur. Apa? Anwar itu tuhan?

Sedangkan Selangor sudahpun ditadbir Pakatan Rakyat. Kalau Anwar ingin buktikan kemampuan, Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor boleh merencana polisi yang baik bagi merancakkan lagi ekonomi negeri Selangor tanpa perlu menjadi MB. Anwar melalui badan penasihat Parti Keadilan Rakyat berhak membuat keputusan selok belok pentadbiran negeri Selangor dan tidak hanya terletak pada mandat yang dipegang Khalid Ibrahim. Mengapa perlu bermain politik begini?

Ini bukan sahaja pembaziran wang. Ini juga pembaziran mandat yang telah diberikan rakyat. Anwar sudah kali kedua tidak menghormati mandat daripada rakyat, atau khianat pada amanah yang diberikan rakyat. Anwar dan seluruh ahli pakatan rakyat perlu belajar menghormati mandat ini.

Anwar talam dua muka tikam belakang

Lebih teruk daripada pembaziran, saya memandang tindakan Anwar ini sebagai satu pengkhiatan bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga kepada rakan pakatan beliau sendiri. Rakan DAP dan PAS tidak langsung dimaklumkan akan perancangan ini. Lim Guan Eng dalam kenyataan di media mengatakan beliau dan kepimpinan DAP tidak langsung dimaklumkan. PAS pula melalui Husam Musa juga menafikan bahawa mereka dimaklumkan tentang keputusan ini. Dewan Pemuda PAS telah mengugut untuk memboikot kempen, dan kepimpinan PAS sendri sudah memutuskan untuk menyenaraikan calon Menteri Besar sekiranya Khalid disingkirkan.

Rakan-rakan PR perlu memahami selok belok politik manusia bernama Anwar Ibrahim ini. Sepertimana yang pernah dialami sendiri oleh Tun Mahathir, Anwar adalah seorang pakar putar belit yang sanggup melakukan apa sahaja untuk meneruskan impian politik beliau. Jika dahulu beliau pernah korbankan prinsip dirinya sendiri untuk menerima jemputan Tun Mahathir menyertai Umno, kononnya tatkala itu Anwar mahu lakukan perubahan dari dalam, apabila sudah ada di dalam dan diangkat Mahathir, beliau menikam dari belakang dan mengkhianati kepercayaan Mahathir. Nasib baik Tun sempat mengetahui dan terus dipecat. Selepas dipecat, segala jasa Tun mengangkat beliau dilupakan malah dicaci orang tua yang banyak berjasa kepada beliau itu.

Selepas itu, beliau menjadi pencabar tegar kerajaan BN yang pernah mengangkat beliau. Beliau terus mengangkat prinsip-prinsip asas perjuangan politik seperti amanah. Tidak lama selepas itu, banyak kerja-kerja gila beliau lakukan termasuk pelbagai tuduhan salah laku seks dan politik, serta pembabitan beliau dengan kuasa-kuasa luar. Tetapi saya tidak mahu mengulas soal itu tanpa bukti kukuh. Yang pasti, beliau menggadaikan prinsip beliau yang pada satu masa mencerca ahli politik beliau yang melompat parti menyokong BN, dan akhirnya beliau sendiri muncul dengan idea gila undi tidak percaya kepada PM pada 16 September kononnya beliau cukup sokongan ahli parlimen mahu menggulingkan kerajaan Pak Lah. Sekali lagi beliau gagal. Kesemua ini seharusnya diteliti Pakatan pembangkang, adakah benar Anwar seorang pejuang mutlak yang bakal mendokong segala prinsip-prinsip yang anda pejuangkan selama ini, atau beliau hanya seorang gila yang mahu mendapat jawatan. Bilakah masanya Anwar akan menikam anda dari belakang demi survival politik beliau, seperti mana beliau telah menikam orang-orang sebelum ini termasuk sahabat-sahabat rapat beliau yang kini telah meninggalkan pejuangan beliau.

BN tidak perlu letakkan calon bertanding di Kajang

Saya menyeru agar Dato Seri Najib Tun Razak tidak meletakkan calon di Kajang. Kalau benar Anwar mahu menang, biarkan beliau menang. Setidaknya, ini adalah manifestasi BN untuk mendapatkan satu suasana politik yang lebih matang. Yang pasti, Anwar akan menang disana. Siapapun calonnya Pakatan Rakyat akan menang. Pada PRU13 yang lalu, Lee Chin Cheh menang dengan 19,571 undi iaitu lebih 50% undi daripada keseluruhan 38,965 pengundi. Kajang menyaksikan perlawanan 6 penjuru dengan BN menentang PKR dan 4 calon bebas yang lain.

Dengan komposisi pengundi yang terdiri daripada 48% Melayu, 41% Cina dan 11% India, MCA sebagai pemilik kerusi Dun Kajang dalam Barisan Nasional dilihat sukar untuk menawan kembali kerusi tersebut, lebih-lebih lagi dengan perkembangan terkini kebodohan politik menteri-menteri Malaysia.

Tetapi, saya tidak bersetuju sekiranya Kajang dijadikan kayu ukur respon rakyat terhadap isu-isu terkini negara kerana Kajang sudah sememangnya milik pembangkang. Kemenangan pembangkang tidak menjadi bukti bahawa sokongan kepada BN terhakis, sekalipun berlaku peningkatan jumlah majoriti. BN pula dalam sisi yang lain tidak perlu berusaha keras untuk menjelaskan isu, kerana sudah pasti banyak isu-isu seperti kos sara hidup yang akan memakan diri. Sebaliknya, mereka perlu duduk diam. Sebab itu saya kata, tak perlu bertanding lebih senang.

Tetapi, PRK Kajang boleh dijadikan satu muhasabah diri buat pimpinan BN untuk merasai betapa susahnya berkempen kalau anda sudah buat tahi. Isu-isu berkaitan rakyat perlu dihadapi dan dijawab. Haa sekarang kalau berani mana-mana pak menteri yang cakap kalau tak suka tol boleh guna jalan biasa, atau kalau tak mampu beli gula, jangan makan gula, tak mampu beli minyak, jangan guna kereta pergilah turun berkempen di Kajang, mohon sujud syukur kalau muka anda tak disimbah air najis.

Notakaki: Kalau nak seronok lagi, mungkin saya sendiri boleh turun bertanding di Kajang sebagai calon bebas. Amacam?

January 28, 2014 Posted by | Uncategorized | Leave a comment

#TURUN : Tahun Baru yang penuh sejarah.

Sambutan Ambang 2014 di Dataran Merdeka semalam mencatat sejarahnya yang tersendiri. Suka atau tidak, sama ada anda setuju atau tidak, Dataran Merdeka semalam telah menyaksikan kebangkitan anak muda menentang penindasan dan tekanan keterlaluan yang diberikan kerajaan. Saya amatlah berbangga melihat anak muda begitu berani dan lantang kali ini, tidak seperti sebelum-sebelum ini yang hanya membisu. Saya ingin ingatkan Tan Keng Liang supaya tidak jadi bodoh dengan tweet-tweet berbau perkauman beliau. Kamu perlu ingat tiga perkara:

  1. Anak muda Melayu semalam bukan anak muda bodoh. Mereka dari kalangan mahasiswa cerdik pandai. Juga golongan professional seperti saya. Saya tak rasa ribuan yang turun semalam adalah mereka yang gagal dalam pelajaran. Kalau ada cuma segelintir dua.
  2. Anak muda Melayu semalam adalah anak muda prihatin tentang masa depan mereka, yang akan mereka tempuhi deritai dek kebodohan pemimpin sekarang. Anak muda semalam adalah anak muda yang memilih untuk melakukan perubahan untuk negara, bukan merempit di malam tahun baru, bukan juga berpelukan geli dengan anak dara lain serta berpesta gila di konsert anjuran kerajaan kamu.
  3. Anak muda Melayu semalam adalah kesinambungan perjuangan anak-anak muda sebelum ini yang tersohor dalam sejarah kemerdekaan negara yang rata-ratanya adalah anak muda Melayu. Kalau Tan Keng Liang cuba banding bezakan anak muda Melayu dan bangsa Cina dan India, cuba selak balik lipatan sejarah negara dan lihat anak muda bangsa apa yang paling (bukan hanya bangsa ini, tetapi bangsa yang paling) berani serta lantang memperjuangkan hak ketika negara mahukan kemerdekaan. Anak muda inilah yang akan teruskan tradisi kalau anak muda lain tidak ambil peduli. Saya bukan mahu bersifat perkauman, sama seperti Tan Keng Liang, saya cuma mahu ingatkan.

Ramai yang bertanyakan kepada saya, apakah pendirian sebenar saya dalam isu perhimpunan haram. Dalam artikel saya sebelum ini, saya menentang sekeras-kerasnya sekalipun perhimpunan itu dikatakan aman, tetapi tidak akan berlangsung dalam keadaan aman. Ya! Saya masih berpendirian sebegitu.

Tapi, dalam artikel yang sama, saya juga katakan rakyat punya pilihan untuk suarakan melalui saluran yang betul, dan boleh membuat perubahan ketika hak mengundi datang. Apa dah jadi sekarang? Pertama, tiada lagi saluran yang betul. Corong-corong telinga YB-YB yang kita pilih pertengahan tahun lalu telah pekak, otak pak menteri yang dilantik juga telah kering, kejang dan tidak mampu lagi untuk berfikir dengan baik. Isu rakyat tidak puas hati dengan kenaikan kos sara hidup tidak perlu disuarakan melalui saluran yang disediakan, saluran-saluran itu sendiri, kalau ada otak sudah mampu untuk berfikir dengan baik bagaimana perasaan rakyat. Kenaikan kali ini bukan kenaikan yang sedikit, ini adalah kenaikan bertubi-tubi yang menelanjang terus kemampuan rakyat untuk hidup dengan aman di bumi ini.

Kedua, rakyat boleh membuat perubahan kalau tidak puas hati melalui hak untuk mengundi. Ini juga sudah tidak boleh digunakan. Dalam pilihanraya yang lalu, kerajaan menjanjikan untuk menguruskan isu kos sara hidup dengan baik. Yang paling penting, kerajaan berjanji untuk tidak menaikkan tol. Atas dasar kepercayaan itu, maka rakyat telah memberi mandat besar untuk mereka memerintah, walaupun pembangkang acapkali menari dengan nada ‘kerajaan minoriti’. Biarlah, walaupun saya tidak setuju dengan sentimen pembangkang ini. Tetapi, hari ini rakyat yang memilih mereka dahulu telah ditipu mentah-mentah. Kos sara hidup bukan saja naik, tetapi melangit tingginya. Tidak pernah dalam sejarah negara, kenaikan demi kenaikan diumumkan kerajaan pemerintah tanpa memikirkan perasaan rakyat. Rakyat ditipu, kini rakyat turun mendesakmu. Apa kamu tunggu, selesaikan tuntutan itu, atau tinggalkan takhta kamu.

Saya tiba di kompleks membeli belah Sogo pada jam 9.00 malam. Saya kagum melihat kebanjiran mahasiswi-mahasiswi yang lengkap berpurdah bersolat berjemaah di kawasan terbuka tempat letak kereta aras bawah. Saya yakin, perhimpunan ini bukan perhimpunan biasa. Namun, harapan saya sedikit meleset setelah saya menyertai ribuan mahasiswa lain di hadapan Sogo mendengar ucapan pimpinan-pimpinan mahasiswa yang saya tidak tahu entah mana datangnya dan siapa mereka. Ucapan-ucapan mereka tidak punya pengisian yang baik, tidak langsung mencerminkan nilai intelek dan kematangan berpolitik. Tuduhan-tuduhan tidak berasas dan maki hamun seolah-olah mereka turut berpolitik kedai kopi. 30 minit saya disitu hanya memenuhkan perut dengan keropok lekor 3 seringgit (sudah naik juga) dan steamboat secucuk RM1.50 (naik juga?). Saya kecewa yang saya dan rakan-rakan lain hanya akan buang masa disini. Kami buat keputusan untuk bergerak ke Dataran Merdeka, kalau tidak tunjuk perasaan sekurang-kurangnya dapat menjamu halwa telinga dengan konsert lima belas juta.

Tidak sampai 15 minit kami di persimpangan antara Dataran Merdeka dan Masjid Jamek, kami dikejutkan dengan sorakan sekumpulan anak muda. Kami difahamkan mereka ini adalah kumpulan yang mula berhimpun di Pasar Seni bergabung dengan kumpulan dari Masjid Jamek. Begitu ramai jumlahnya sehingga memenuhi ruang jalan di sepanjang jalan antara Dataran dan DBKL. Saya terus sertai mereka dan mula bersorak “Hidup Rakyat!”. Kali ini saya tekad akan mengepalai sorakan-sorakan ini dengan penuh semangat.

IMG_4685

Ribuan penunjuk perasaan yang terdiri dari anak muda membanjiri Dataran Merdeka ketika sambutan Ambang 2014.

Pihak penganjur meminta kebenaran polis untuk masuk kawasan padang tetapi dihalang. Darah anak muda, kami terus menuju ke jalan berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad. Ketika itu betul-betul di garisan lintas pejalan kaki di hujung padang dekat persimpangan. Kami disekat oleh rantaian pasukan polis gerakan am tanpa barricade. Peserta mula bersorak menuntut hak kononnya mahu menonton konsert. “Hak kami nak tengok konsert. Kami rakyat Malaysia juga!” Cehhh!!! Trick lama. Rundingan dengan pihak polis tidak berjaya membawa kami ke depan.

Runding lagi! Kali ini kami mahu mara lagi ke depan. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Biar putih tulang jangan putih mata. Antara pepatah yang saya laungkan seolah-olah pejuang Melayu lama. Pada ketika ini, kami antara peserta di barisan utama, betul-betul di belakang wartawan bertentang dengan pasukan polis. Rundingan dengan polis ternyata gagal apabila polis berdolak dalih, selepas sepuluh minit kami diminta tunggu lagi sepuluh minit, dan sepuluh sehingga jam tepat 10.30 malam. Ini cerita benar, atas permintaan saya nyatakan nama-nama yang bersama saya berjuang semalam satu persatu: Amirul Ariff (Spark), Amirul Fikri, Anwarul Iman, Ismael Shah, Omar dan Chad (rakan yang baru kenal) sepakat untuk mula merempuh. Kami kira sampai lima, orang belakang terus tolak. Kira lagi, kali ini saya sendiri terkejut kerana tolakan itu begitu kuat, saya sendiri hampir tersadung tapi barisan kubu polis di depan tidak dapat menahan asakan tersebut lalu bolos. Dan lebih 10 ribu rakyat berlari bersorak gembira membolosi sehingga ke depan.

Di barisan paling hadapan berdepan dengan pasukan polis sebelum insiden rempuhan.

Di barisan paling hadapan berdepan dengan pasukan polis sebelum insiden rempuhan.

Kami duduk di atas jalan. Menunggu arahan pihak penganjur. Tetapi sehingga jam 11 malam, tiada perubahan. Hanya ucapan kosong berulang-ulang dari jam sembilan sampai sekarang dan sorakan-sorakan oleh mereka yang sudah hilang suara. Saya sendiri sudah tidak mampu menjerit lagi. Bosan. Seorang pakcik tiba-tiba di tengah-tengah ribuan manusia yang sedang duduk itu bangun menjerit memberi kata-kata semangat “Kita tidak mahu duduk sahaja, kita mahu lawan. Ini pembaziran. Konsert perlu dihentikan.” Orang ramai kembali bersemangat, saya dan Spark mengambil kesempatan untuk terus mara ke depan dengan jeritan “Reformasi” (anda boleh lihat video di Youtube). Kami terus bersama ribuan peserta bersama yang lain masuk padang ke pentas depan. Tetapi konsert masih diteruskan. Ketika ini, yang lain sudah hilang. Saya keseorangan. Kuatkan semangat, teruskan sorakan.

Insiden baling botol ke pentas sangatlah memalukan dan mencemarkan nama baik perhimpunan kali ini. Tetapi, saya difahamkan peserta-peserta yang baling bukanlah rakyat tempatan, telahpun ditangkap oleh peserta yang lain dan diserahkan kepada pihak polis. Ada seorang daripada yang ditangkap, warganegara Myanmar begitu takut ketika diminta untuk menunjukkan kad pengenalan lalu berkata “Saya tak salah. Orang bayar saya.” Anda fikirlah sendiri agenda siapakah ini. Tepat jam 11.30 malam, lebih 10 ribu peserta membanjiri padang Dataran Merdeka. Pihak penganjur sambutan Ambang 2014 membuat keputusan untuk menghentikan konsert, dan lampu terus dipadamkan. Rakyat bersorak gembira. Tiba-tiba, perasaan syahdu menyelubungi diri saya; hari ini benar-benar bersejarah. Sejarah buat diri saya sendiri yang sama-sama pada malam ini, dan apa yang lebih penting sejarah buat budaya demonstrasi jalanan di Malaysia yang mengingatkan kerajaan bahawa kami boleh jadi lebih berani, dan akan lebih berani lagi di masa depan kalau kerajaan terus mendesak. Sejarah buat Dataran Merdeka yang bersejarah, buat julung-julung kalinya konsert sambutan tahun baru terbatal, dan bunga api tidak terpancar. Tapi bukan sejarah itu yang kita cari.

Pagi ini, saya kecewa melihat kebanyakkan komen-komen di laman maya. Terima kasih pada yang terus berikan semangat, tetapi malulah kamu yang mengkritik pedas tanpa berada di sana. Lebih malu lagi bagi mereka yang mengkritik pedas peserta-peserta yang telah menggagalkan konsert hasil duit rakyat bernilai RM15juta. Saya kecewa. Saya kira, demonstrasi kali ini tidak bermotifkan politik langsung. Malah pemimpin-pemimpin politik tidak diberikan tempat. Rafizi berucap bukan dijemput tetapi dengan inisiatif beliau sendiri memekik tanpa pembesar suara kepada orang ramai. Saya masih ingat, ada satu bendera Pas diturunkan kerana peserta tidak mahu kaitkan perhimpunan kali ini dengan motif politik. Perhimpunan kali ini adalah perhimpunan rakyat, termasuklah saya dan rakan-rakan yang menyokong Barisan Nasional selama ini.

Mesej moral yang boleh disampai daripada perhimpunan semalam sangat jelas:

  1. Kalau tidak parti politik, rakyat biasa juga boleh menjayakan perhimpunan tunjuk perasaan. Berjaga!
  2. Kalau tidak orang lain, anak muda sendiri akan turun berjuang. Berjaga!
  3. Kalau terus diasak, anak muda pun boleh mengasak. Dataran Merdeka telah kami tawan. Cubalah uji kesabaran kami lagi, kalau kerajaan tidak ambil pusing, jangan salahkan kami. Putrajaya pun boleh ditawan. Berjaga!

Perhimpunan semalam mahu menghantar mesej moral yang jelas ini kepada kerajaan pemerintah. Tidak ada sekelumit niat di hati untuk menggulingkan kerajaan dengan cara haram. Bukan soal gulingkan kerajaan, ini soal nasib rakyat yang perlukan keprihatinan pemimpin. Ini soal rakyat yang sudah tidak punya pilihan, apabila kerajaan memekak membisu membutakan menghabiskan wang rakyat, dan bahananya terpaksa ditanggung rakyat. Ini mesej rakyat sudah tidak boleh berdiam. Dan kami tidak gentar. Ini jawapan mudah kepada Hassan Malek, rakyat tidak perlu mengadu, apa lagi hendak di adu. Sepatutnya kerajaan sudah tahu rakyat pasti terbeban, maka turun saja di jalanan.

Hassan Malek, Menteri Perdagangan Dalam Negeri. Cakap tanpa otak.

Hassan Malek, Menteri Perdagangan Dalam Negeri. Cakap tanpa otak.

Kerajaan perlu sedar pembaziran perlu dielakkan. Jangan bebanan negara hasil keborosan politikus durjana diletakkan hanya di bahu rakyat. Dalam DBKL tidak cukup duit lalu mengumumkan kenaikan cukai pintu bagi penduduk Kuala Lumpur, RM15 juta yang seharusnya digunakan sebaiknya untuk rakyat dibazirkan untuk konsert tahun baru. Bukan tidak boleh, kalau mahu sambut, rakyat boleh bersama Petronas di KLCC semalam. Itu duit korporat, bukan duit rakyat. Saya pasti, rakyat Kuala Lumpur lebih mahukan kehidupan yang baik tidak terbeban sepanjang tahun daripada kegembiraan di konsert semalam. Saya pasti.  

Saya ucapkan tahniah kepada pasukan polis yang bekerjasama dengan baik menjaga keamanan dan ketenteraman, dan setinggi tahniah buat Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Dr. Zahid Hamidi yang bertindak wajar tidak mengerahkan pasukan polis simpanan khas untuk menghuru-harakan keadaan. Kalau semua bekerjasama, insiden-insiden tidak tenteram seperti mana Bersih dahulu tidak akan berulang. Syabas.

Kepada rakyat yang kecewa tidak dapat menikmati konsert dan bunga api semalam, saya memohon maaf. Tapi percayalah, suatu hari nanti anda semua akan berterima kasih pada anak-anak muda yang turun semalam. Malaysia nampak aman. Tapi adakah anda aman kalau setiap hari anda bangun dari tidur dengan perasaan yang gelisah, di malam hari anda tidur dengan perasaan yang gelisah. Gelisah. Gelisah memikirkan cukupkah duit untuk belanja esok. Mana nak cari duit untuk bagi mak ayah. Baru setengah bulan, gaji sudah ketandusan. Sampai bila anda mahu terus risau dan buntu, sedangkan kerajaan dipilih kita untuk membantu, bukan memburu kita dengan kenaikan demi kenaikan.

Setidaknya, sekiranya kalian marah akan perhimpunan semalam, anak muda semalam, fikirkan sejenak, pernah atau tidak anda gelisah sebelum tidur dan ketika bangun tidur memikirkan, cukupkah duit kita hari ini, apa akan jadi pada anak-anak nanti.

Notakaki: Saya cuba merumuskan pengalaman dan pandangan saya berhubung perhimpunan semalam. Artikel-artikel mendatang akan lebih fokus kepada satu topik asas yang mengupas intipati artikel ini. Insha Allah. Teruskan membaca dan menyokong.

Shafiq Fhadly

Tawan Dataran Merdeka

31 Disember 2013.

January 1, 2014 Posted by | Uncategorized | , , , | Leave a comment

11 Langkah Penjimatan Yang Membuang Masa – Najib terdesak agaknya.

Saya menyambut baik pengumuman yang dibuat Perdana Menteri semalam berkaitan 11 langkah penjimatan sektor awam. Sekalipun pada saya lebih banyak yang boleh dilakukan, namun saya mengharapkan ini merupakan langkah pertama ke arah lebih banyak langkah-langkah baik yang boleh diambil kerajaan untuk menjimatkan perbelanjaan negara, atau lebih tepat lagi perbelanjaan wang rakyat. Antara langkah penjimatan yang diumumkan Perdana Menteri semalam yang akan berkuat kuasa bermula 1 Januari 2014 adalah:

  1. Pengurangan 10% elaun keraian menteri dan timbalan menteri serta 5 – 10% bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (JUSA C) ke atas.
  2. Pengurangan 5% kos utiliti elektrik di semua kementerian, jabatan, agensi dan premis kerajaan.
  3. Pengurangan RM50 – RM100 atau 30% kemudahan bayaran tol bagi pegawai kanan kerajaan Gred JUSA C ke atas.
  4. pembekuan permohonan baru bagi pengubahsuaian ruang pejabat kementerian, jabatan, agensi dan premis kerajaan.
  5. mengetatkan perlantikan juru runding untuk projek fizikal kerajaan termasuk menjalankan kajian kesesuaian, manakala cadangan pelantikan perlu dikemukan kepada Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara untuk kelulusan.
  6. Pengurangan penggunaan syarikat pengurusan acara dan pemberian cenderamata untuk penganjuran persidangan atau majlis kerajaan membabitkan anggota pentadbiran serta penjawat awam.
  7. Pindaan kelayakan tiket penerbangan domestik dan antarabangsa termasuk penggunaan kelas ekonomi sektor domestik bagi penjawat awam Gred JUSA C ke bawah.
  8. Mengurangkan penyediaan makanan dan minuman semasa penganjuran persidangan seminar, mesyuarat, kursus, bengkel atau sebarang acara rasmi kerajaan.
  9. Pengurangan penggunaan kain pemidang bagi penganjuran persidangan, seminar, mesyuarat, kursus, bengkel atau acara rasmi kerajaan.
  10. Mengoptimum penggunaan ruang pejabat sedia ada untuk mengurangkan sewaan premis
  11. Mengguna pakai pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan mengoptimumkan penggunaan Pusat Latihan 1Malaysia (1MTC) dan kemudahan di institusi latihan milik kerajaan bagi penganjuran kursus, seminar serta bengkel.

Terdapat beberapa masalah kecil yang perlu untuk saya utarakan dalam penulisan kali ini. Saya tidak pasti apakah asas pemilihan sektor-sektor ini tapi saya memandang sektor-sektor penjimatan yang dicadangkan ini hanyalah sektor ikan bilis sahaja. Berapa sangatlah kos kain pemidang, sewaan premis untuk majlis tertentu, kos tol, penyediaan makanan dan minuman di majlis-majlis kerajaan serta lain-lain lagi. Saya tidak katakan penjimatan ini tidak perlu. Kalau dah boleh jimatkan, buat apa dibazirkan. Cumanya, kerajaan seharusnya mensasarkan kepada aktiviti-aktiviti pembaziran yang lebih besar memakan jutaan ringgit. Sebab itu, pengumuman semalam lebih molek sekiranya Perdana Menteri dapat terus meletakkan “daripada langkah-langkah yang disyorkan ini, kita bakal menjimatkan perbelanjaan negara sejumlah RM XX juta..” Maka senanglah, rakyat boleh bersama-sama membuat congak kira, kalau RM3 billion diperlukan untuk subsidi minyak atau gula, kita sama-sama cari mana penjimatan yang boleh dilakukan untuk menampung kos subsidi ini. Saya pasti YB Rafizi gembira untuk turut serta memberi cadangan yang membina berdasarkan matematiknya.

Tapi malang, jumlah penjimatan yang disasarkan daripada langkah-langkah yang disyorkan tidak diumumkan, kerana saya pasti penjimatannya tidak seberapa. Sebaliknya, dalam keadaan terdesak menjelang gerakan TURUN di malam Tahun Baru, kerajaan cuba menyejukkan hati rakyat dengan SEBELAS langkah yang diumumkan. SEBELAS. Bukan sedikit. SEBELAS langkah. Apa lagi rakyat mahu? (dua tangan atas bahu mata pandang atas).

Saya pernah terlibat dalam inisiatif penjimatan perbelanjaan sektor korporat ketika dunia dilanda kegawatan ekonomi sekitar tahun 2008/2009. Langkah pertama yang diambil adalah dengan menyenaraikan pecahan perbelanjaan mengikut sektor-sektor tertentu, contohnya dipecahkan setiap bahagian kepada segmen-segmen kecil bahagian terbabit. Setelah itu, diatur mengikut kedudukan tertinggi sehingga terendah. Dengan itu mudah untuk kita melihat, yang mana satu big fish or big ticket item yang perlu kita sasarkan. Langkah ini boleh dilakukan di peringkat kementerian. Bagi setiap kementerian, dipecahkan perbelanjaan mengikut bahagian dan dinilai satu persatu jumlah perbelanjaan masing-masing seterusnya diletakkan sasaran kepada big ticket itemPerkara ini begitu mudah untuk dilakukan, selak sahaja Laporan Ketua Audit Negara dan boleh dilihat. Jelas terpampang.

Seterusnya, apa yang lebih penting lagi adalah meletakkan sasaran penjimatan. Ketika kegawatan tahun 2008/2009, saya masih ingat organisasi saya mensasarkan penjimatan pukul rata 30% bagi kos operasi. Terhegeh-hegeh kami mencari di mana boleh berjimat. KPI diletakkan dibahu Ketua Jabatan, dan dinilai di akhir tahun. Semua pekerja bertungkus lumus memastikan sasaran tercapai. Di peringkat kementerian, perkara ini perlu berlaku supaya pembaziran dapat dielakkan. Dengan itu, aktiviti-aktiviti besar yang menelan belanja jutaan ringgit seperti sambutan tahun baru dan kemerdekaan, sambutan ulangtahun kelahiran, majlis rumah terbuka peringkat kebangsaan dapat dijimatkan. Bukan tidak boleh buat, tetapi ada kaedah lain yang boleh dilakukan.

Saban tahun, sambutan tahun baru mega diadakan di dua lokasi utama di ibu negara, iaitu Dataran Merdeka dan KLCC. Saya keliru mengapa perlu ditambah, atau apakah nilai tambah kerajaan mengadakan satu sambutan khas yang menggunakan wang negara di Dataran Putrajaya. Tidak cukupkah sambutan di Dataran Merdeka dan KLCC? Bukankah ini boleh menjimatkan perbelanjaan, kalau sektor korporat yang menganjurkannya dan kerajaan tumpang sekaki. Saya pasti Petronas akan berbesar hati sekiranya sambutan tahun baru yang mereka anjurkan saban tahun di KLCC dimeriahserikan dengan kehadiran dif-dif kehormat, pemimpin utama negara termasuk Perdana Menteri dan isteri.

Banyak lagi inisiatif yang boleh diambil kerajaan untuk menjimatkan perbelanjaan wang rakyat. Kalau hendak disenaraikan, sampai esok pun tak habis. Tapi, mesej saya mudah sahaja. Letakkan priority dan bersifat terbuka serta telus dengan semua orang langkah serta jumlah penjimatan yang disasarkan. Saya pasti Idris Jala arif tentang hal ini kerana beliau merupakan seorang bekas peneraju agensi korporat yang sangat berjaya. Selagi mana kita tidak letakkan sasaran yang jelas, kita tidak akan ke mana. Hidup ini kalau tiada matlamat, baik mati.

Dalam pada saya merepek panjang, saya sebenarnya masih belum utarakan mesej utama penulisan kali ini. Saya sebenarnya lebih gemar untuk mengembangkan idea Najib Razak ke arah yang lebih berobjektif, iaitu apakah pelan tindakan serta kawal selia yang akan diambil. Dalam erti kata yang lebih mudah, siapa akan menyelia 11 langkah yang diumumkan di atas, dan apakah tindakan yang bakal diambil kepada mereka yang tidak mematuhinya. Siapa yang perlu bertanggungjawab.

Sebabnya. Kalau nak berjimat sebenarnya tak perlu pun diumumkan 11 langkah tu. Buang masa saja. Baik Perdana Menteri kurung diri dalam pejabat seminggu selak satu persatu Laporan Ketua Audit Negara yang lalu, dan tahun tahun sebelumnya. Berapa banyak penjimatan, berjumlah jutaan ringgit yang boleh diselamatkan daripada ketirisan. Soalnya sama sahaja, sekalipun ada 11 langkah yang diumumkan, kalau tidak ada penguatkuasaan yang baik, 11 langkah itu tidak akan ke mana. Kalau dah Laporan Ketua Audit Negara pun tidak diendahkan, inikan pula langkah-langkah serkap jarang yang diumumkan Perdana Menteri di saat-saat akhir. Saya pasti tidak akan membuahkan apa-apa hasil. Kalau anda masih ingat, dalam perlaksanaan Government Transformation Program (GTP), Perdana Menteri berjanji untuk mengaudit prestasi setiap menteri dan membuat laporan kepada orang awam setiap tahun. Mana janji itu? Mana hasilnya? Mana laporan prestasi setiap menteri. Saban hari saya tengok menteri makin bodoh. Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan kebelakangan ini seolah-olah berfikir dengan kepala lutut.

Kerajaan di Malaysia saban tahun hanya pandai membuat perancangan serta pengumuman demi pengumuman. Tapi bab perlaksanaan sangatlah lembab. Kecuali bab perlaksanaan naikkan harga barang. Itu cekap. Hari ini Perdana Menteri mengumumkan pula Jawatankuasa Khas hadapi bencana alam. Duit lagi. Nak tubuh jawatankuasa perlukan pekerja, ruang pejabat. Semua itu duit. Seingat saya kita dah ada Majlis Bencana Negara. Apa kerja mereka? Duduk saja? Samalah juga dengan ribuan jawatankuasa-jawatankuasa lain berkaitan kebudayaan, pendidikan dan sebagainya yang semuanya membazirkan wang negara. Akhirnya senyap begitu sahaja. Sedangkan kita ada kementerian kementerian dan jabatan jabatan dibawahnya yang dipertanggungjawabkan untuk meneliti setiap aspek ini.

Kalaulah kerajaan benar-benar bersungguh-sungguh mahu mengorak langkah penjimatan, mulakanlah dahulu dengan perincian Laporan Ketua Audit Negara. Di sana, ada berjuta ringgit khazanah negara yang dirobek syaitan dan iblis jelmaan manusia.

December 31, 2013 Posted by | Uncategorized | 2 Comments

Harga minyak naik lagi: mana kewarasan kerajaan?

TV3-BeritaTV3-Harga_Minyak_RON95_574158469

Sejak minggu lalu, perdebatan tentang kewajaran kenaikan harga minyak begitu aktif di semua arena, media utama, media alternatif, laman sosial dan tidak ketinggalan warung kopi. Sehinggakan ramai dari kenalan asyik menghantar whatsapp kepada saya untuk meminta pandangan.

Pendirian saya jelas, sebagai penyokong Barisan Nasional saya membantah kenaikan harga minyak yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini. Dan saya juga menyokong mana-mana bantahan yang bakal dibuat termasuklah demonstrasi aman mengecam tindakan kerajaan ini. Saya kira demonstrasi jalanan perlu direstui dalam konteks ini kerana sudah tidak ada lagi saluran yang lebih sesuai, apabila kerajaan gagal menunjukkan keprihatin serta kesungguhan untuk menjadi sebuah kerajaan “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.”

Skrip yang sama digunakan sejak bertahun lamanya. Acapkali apabila harga minyak dinaikkan sahaja, ini adalah untuk kebaikan rakyat. Kerajaan prihatin dengan rakyat, ini bukan tindakan populis, demi kepentingan rakyat. Rakyat tidak harus terlalu bergantung dengan subsidi, duit lebihan boleh digunakan untuk aktiviti yang lebih menguntungkan rakyat, subsidi tidak sepatutnya dinikmati golongan kaya, dan pelbagai lagi. Saya sudah muak dan menyampah dengan penjelasan begini, yang hanya tahu membodohkan rakyat.

Apa sebenarnya rasionalisasi subsidi? Rasionalisasi subsidi bermakna kerajaan cuba untuk bertindak lebih rasional dalam mengagihkan subsidi, bukan tidak siuman. Tindakan menaikkan harga minyak adalah tindakan tindak siuman, bagaimana tergamak mereka katakan itu sebagai satu rasionalisasi subsidi?

Peranan sebuah kerajaan bukan sahaja membangunkan, sebaliknya lebih penting lagi menjaga kebajikan rakyat tidak kira apa pun terjadi. Sebab itulah rakyat didahulukan. Kerajaan adalah satu kumpulan yang dilantik rakyat untuk menguruskan wang rakyat dan terus membantu rakyat terutama dalam bentuk subsidi. Kalau subsidi tidak mahu diberi, buat apa rakyat melantik kerajaan. Lebih baik tiada pemerintah.

Kenaikan harga minyak akan memberi kesan berantai kepada rakyat walaupun hanya 20sen sahaja. Secara langsung, kenaikan ini bermakna bagi setiap isi rumah yang menggunakan Perodua Kancil (tangki penuh 60 liter seminggu) menanggung pertambahan perbelanjaan sebanyak RM12 seminggu dan RM48 sebulan. Mungkin kalkulus kerajaan terhenti disini sahaja. Sebab itu pada mereka duit BR1M RM500 sudah cukup. Tetapi kalkulus ini perlu dilihat dalam sudut yang lebih luas.

Walaupun kerajaan menjanjikan untuk mengawal kenaikan harga barang, bagi mereka yang sudah hidup 28 tahun di Malaysia, dan lebih-lebih lagi bagi yang sudah hidup 40 tahun di Malaysia, anda mungkin sudah masak dengan situasi ini dan muak dengan janji kerajaan untuk mengawal kenaikan harga barang. HARGA BARANG PASTI NAIK. Ini fakta yang tidak boleh disangkal kerana pengalaman telah membuktikannya. Harga bawang, minyak, gula, beras dan keperluan-keperluan asas yang lain akan turut sama naik kerana kos pengangkutan barang-barang ini akan turut naik, lebih-lebih lagi dengan kenaikan diesel. Bagi Pak Menteri yang memberi jaminan harga barang tidak naik, apa kata janjikan juga beliau sanggup direjam dikhalayak umum kalau harga barang naik. Pengalaman terkini harga ayam yang melambung tinggi di musim perayaan baru-baru ini bukti jelas kerajaan tidak punya kapasiti untuk mengawalselia dengan baik. Bebanan tambahan yang bakal ditannggung rakyat kesan daripada kenaikan harga barang adalah dalam sekitar RM20 – RM50 sebulan. Unjuran YB Rafizi lebih tinggi iaitu sekitar RM150.

Kalau diambil kira kesan-kesan ini, bagi sebuah keluarga yang berbelanja secara asas, jumlah bebanan tambahan sebulan mungkin hanya RM68 sahaja. Bagi segelintir pihak RM68 tidak ada apa-apa tambahan pula dengan adanya bantuan BR1M. Tetapi anda perlu ingat, jumlah tambahan setahun adalah RM68 x 12 bulan = RM816.

Sebelum ini kerajaan sedar tekanan ekonomi yang dihadapi kerajaan. Dengan itu kerajaan telah memberi gula-gula RM500. Tapi ingat! Tekanan ini tidak pernah berkurang. Maksudnya, tahun ini golongan ini masih lagi memerlukan RM500 untuk menampung kehidupan. Tetapi, dalam pada masa yang sama, tekanan ini ditambah dengan bebanan di atas. MAKSUDNYA, pemberian BR1M seterusnya perlulah kekurang-kurangnya RM500+RM800 = RM1300. Tapi ingat, manifesto kerajaan Barisan Nasional ingin menaikkan BR1M maksima RM1000 secara berperingkat untuk tempoh 5 tahun selepas PRU13. Kondisi ini nyata perlu diubah.

Namun, keadaan ini bukanlah suatu bebanan untuk kerajaan keraja setakat Mac 2012, hanya 3.8juta isi rumah yang layak menerima BR1M, dikategorikan berdasarkan pendapatan bulanan kurang RM3,000 (Rujukan: Utusan Malaysia 14/3/2012) Kalau ini angka yang diambil kira, jumlah keseluruhan BR1M tambahan hanyalah RM800 x 3.8 juta = RM3.04billion, kurang RM0.26billion daripada keseluruhan RM3.3 penjimatan subsidi yang dijanjikan bakal diagihkan kepada golongan yang sepatutnya. Ayuh kita nantikan pula apa alasan kerajaan untuk tidak memberikan jumlah BR1M ini. Sungguhpun begitu, saya masih lagi percaya BR1M bukanlah penyelesaian kepada masalah rakyat terbeban seperti yang saya jelaskan dalam artikel sebelum ini.

Harga Minyak Tidak Patut Naik

Sungguhpun harga minyak berada dalam paras yang tinggi, tetapi keadaannya mendatar pada tahap USD100 setong. Bermaksud, bebanan kerajaan yang sebelum PRU13 boleh ditanggung kerajaan tidakpun bertambah. Jadi mengapa tanggungan subsidi itu tidak boleh diteruskan?

  1. Adakah kerajaan begitu terdesak tidak punya wang untuk menguruskan ekonomi negara?
  2. Adakah wang negara sudah surut dek kerana perbelanjaan ketika PRU13?
  3. Adakah kerajaan punya projek lebih penting daripada kepentingan rakyat?

Saya sudah bosan, menyampah dan muak dengan kenyataan-kenyataan bodoh Pak Menteri yang berfikir menggunakan kepala lutut. Saya doakan menteri-menteri sebegini untuk pendek jodoh dalam arena politik, kerana mereka ini hanya liabiliti buat Barisan Nasional dan negara.

photo

Saya sempat menonton Forum 20 Sen semalam yang diwakili Naib Pengerusi Unit Pidato Pemuda UMNO. Seperti Pak Menteri lain, Zaidel juga menggunakan alasan yang sama iaitu kita perlu mengurangkan kebergantungan kita kepada sumber minyak kerana rizab minyak sudah berkurangan dan akan habis. Saya ingat lagi, beberapa tahun lepas skrip yang sama digunakan sehingga angka 2015 digunakan sebagai unjuran bahawa krisis pengeluaran minyak di Malaysia. Malangnya, segala kenyataan ini tidak langsung disokong oleh mana-mana fakta. Kalau benarlah minyak akan habis pada 2015, atau jika benarlah minyak akan habis dalam masa terdekat, orang yang paling utama perlu bertanggungjawab adalah Pengerusi Petronas, kerana beliau telah gagal menguruskan sumber minyak di Malaysia dengan baik dengan memastikan rizab kita berterusan.

Keadaan ini tidak berlaku. Pada tahun 2007, kita mengeluarkan minyak pertama dari lapangan Kikeh dengan kapasiti 120 ribu tong sehari (Rujukan: Laporan MurphyOil). November 2012, Shell mengeluarkan minyak pertama dari lapangan Gumusut-Kakap dengan kapasiti 135 ribu tong sehari. (Rujukan: Laporan Shell). Kedua-dua lapangan ini merupakan lapangan laut dalam yang menjadi fokus utama aktiviti carigali minyak ketika ini. Tidak cukup dengan itu, banyak lagi lapangan-lapangan minyak baru yang ditemui dan akan dibangunkan. Ada antaranya sudah diumumkan, dan ada antaranya masih lagi maklumat sulit. Tahun 2011, kerajaan menandatangani perjanjian usahasama Petronas dan Shell untuk membawa teknologi EOR yang akan melangsungkan jangka hayat lapangan lama sehingga 2040. (Sumber: Klik disini). Kesemua ini, kalau hendak diambil kira purata jangka hayat lapangan mampu mengeluarkan minyak sekitar 40-50 tahun mendatang. Sebab itu, saya dengan yakin mengatakan bahawa minyak Malaysia, setakat hari ini, jika tidak ada langsung penemuan baru, masih boleh bertahan sehingga tahun 2050. Kesemua fakta ini bukanlah fakta sulit dan rahsia, sebaliknya anda boleh baca di laporan-laporan syarikat minyak yang diedarkan untuk orang awam. Maksudnya, rasionalisasi subsidi untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber minyak adalah tidak rasional.

Ketika menulis artikel ini, saya menjumpai komen tanpa otak ini di Facebook. Saya malas mahu bicara panjang, cukuplah sekadar ketawa sinis dengan Menteri ini. Mungkin dia lahir-lahir terus bergaji puluhan ribu, tidak pernah muda dan tidak pernah merasa hidup bergaji RM3000.

1237683_658986527467803_886350224_n

Bagi sesetengah orang pula, petrol hanyalah untuk orang kaya, dan orang bandar. Sebab itu keluar komen “orang kampung mana guna petrol. Kalau guna pun naik motor sahaja.” Komen-komen begini adalah komen haprak yang meminta kepala ditampar berulang kali mengingatkan diri tentang kehidupan realiti. Pergilah ke kampung-kampung, cuba kira berapa ramai orang kampung tidak berkereta. Kereta sudah jadi satu keperluan, walaupun sesusah mana, rakyat akan cuba dapatkan kereta. Adakah berdosa untuk orang kampung memiliki kereta. Adakah tatkala memiliki sebuah kereta, kamu sudah dianggap kaya? Apakah hanya pak menteri sahaja yang layak memandu kereta di muka bumi tuhan ini?

Lagi apa? Komen bangang juga datang daripada pak menteri – kalau harga barang naik, jangan beli. tanam sendiri. Untunglah, tak sangka pak menteri kita rajin-rajin belaka dok bercucuk tanam di belakang mahligai mewah hasil wang rakyat kerana harga barang naik. Patutlah selalu Timbalan Menteri sahaja dok menjawab di Parlimen, sibuk menternak ayam rupanya. Patutlah bila jawab soalan fikir guna tumit, sibuk sangat sampai tiada masa menambah ilmu.

Soal pengangkutan awam? Memang pun dari rumah saya di Seri Kembangan ke pejabat di KLCC mudah dan berkesan. Memangpun kalau mahu jalan-jalan di Kotaraya sangat berkesan. Itu baru cakap soal Kuala Lumpur. Inikan pula kalau di Bandaraya Alor Setar, memang pun LRT bersimpang siur, memang pun di Bandar Taiping sistem bas teratur dan tepat pada masa, memangpun di Teluk Intan sistem pengangkutan awam terbaik dan menyenangkan.

Inilah akibat kalau Pak Menteri anak beranak hidup mewah dengan wang rakyat sampai sudah alpa dan leka dengan nikmat dunia, sampai tidak pernah langsung memandang ke bawah. Sesekali, saya tetap menggunakan pengangkutan awam di Kuala Lumpur untuk mengetahui sejauh mana tahapnya. Saya pernah beberapa kali menggunakan bas untuk ke tempat kerja. Juga LRT, dan teksi. Saya cuba untuk bandingkan pengalaman saya di bandar-bandar utama dunia. Kita masih jauh, bukan untuk menyamai mereka, cukuplah sekadar untuk memenuhi kemudahan rakyat. Kita masih jauh. Masih jauh untuk saya ke pejabat dengan pengangkutan awam. Pak Menteri harus ambil masa, turun ke padang bersama rakyat, lihat kampung-kampung, bagaimana susahnya kehidupan di sana. Cuba untuk bercakap dengan anak muda, bagaimana kos hidup meningkat menekan mereka yang baru mula bekerja.

Penyelesaian

Kerajaan mensasarkan penjimatan subsidi sebanyak RM3.3billion dengan pengurangan subsidi ini. YB Rafizi telah menjelaskan bagaimana penjimatan ini boleh diperoleh menerusi penstrukturan semula IPP di Malaysia. Oleh itu saya tidak mahu mengulas lanjut, walaupun ada perkara asas yang saya tidak setuju dengan idea ini. Pada saya, kapasiti elektrik yang tinggi dan jaminan penyediaan infrastruktur elektrik berterusan adalah penting untuk menjamin kelestarian pelaburan dari luar.

Terlalu banyak kaedah yang boleh diambil untuk memperoleh kembali RM3.3 billion tanpa mengurangkan subsidi. Kadar cukai pendapatan boleh dikaji semula. Pada ketika ini, kadar tertinggi cukai pendapatan adalah sebanyak 26% bagi golongan berpendapatan melebihi RM100 ribu setahun. Ini bermakna kadar yang dikenakan untuk golongan berpendapatan mahakaya berpendapatan puluhan ribu sebulan yang mewakili lebih kurang 20% kumpulan teratas adalah sama dengan golongan yang memiliki RM9,000 sebulan. Walhal kumpulan ini seharusnya dikenakan cukai pendapatan yang lebih tinggi. Ada antara negara-negara di luar yang mengenakan cukai sehingga mencecah 50% untuk golongan ini. Kerajaan perlu mengkaji semula struktur cukai pendapatan di Malaysia.

Tidak cukup dengan itu, cukai arak dan rokok merupakan 2 penyumbang cukai tertinggi di Malaysia selain cukai kereta. Jika hendak dibandingkan negara-negara lain, dikhabarkan bahawa cukai rokok dan arak adalah jauh lebih rendah. Begitu juga dengan cukai yang dikenakan ke atas pusat hiburan yang tumbuh bak cendawan lepas hujan di negara kita. Ke semua ini boleh menyumbang kepada pendapatan yang tinggi mencecah billion ringgit. Kenapa ini tidak pernah dirombak?

Kerajaan juga perlu memulakan langkah berjimat jika benar negara terbeban. Majlis-majlis keraian yang tidak perlu diperbesarkan seperti sambutan hari kemerdekaan, hari Malaysia, hari jadi ketua negara dan negeri perlu dipotong belanja. Elaun-elaun tidak perlu kepada menteri-menteri perlu juga diperhalusi. Kalau benar mahu rakyat bersama, menteri juga harus bersama.

Belanjawan tambahan yang seringkali dibentangkan di Parlimen setiap tahun adalah bukti jelas kegagalan kerajaan merancang serta mengawal perbelanjaan dengan berhemah. Ini adalah bukti jelas bahawa kerajaan boros dan tidak punya perancangan baik bagaimana untuk mengawal perbelanjaan wang rakyat. Keadaan ini sama sahaja di sebuah syarikat, yang mana pada setiap hujung tahun kita punya perancangan perbelanjaan tahun hadapan dan perlu memastikan kita menilai setiap dari perbelanjaan, merancang bagaimana untuk digunakan dan memastikan perbelanjaan tidak melebihi daripada apa yang dirancang. Kenapa amalan ini tiada di dalam pemerintahan negara. Seolah-olah pak menteri boleh letak angka suka hati, tak cukup boleh minta lagi.

KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, saya tidak bersetuju dengan kenaikan harga minyak di Malaysia. Malah, saya menggesa agar harga minyak diturunkan lebih rendah daripada kadar sebelum dinaikkan. Kita punya kapasiti yang besar menerusi rizab minyak, dan kesemua itu kalau tidak disalurkan sepenuhnya kepada rakyat, sekurangnya perlu dikongsi dan dinikmati bersama rakyat. Alasan bahaya minyak akan habis adalah tidak ilmiah dan pendek akal, menyuruh rakyat merubah cara hidup juga tidak masuk akal kecuali menteri tunjukkan teladan dahulu bahawa itu realistik untuk dibuat.

Negara kita punya banyak kapasiti yang masih belum digunakan seoptimum mungkin. Pengstrukturan semula keseluruhan struktur cukai yang tidak melibatkan rakyat jelata seperti cukai rokok, minuman keras, cukai korporat, cukai pendapatan perlu disegerakan untuk menampung belanjawan boros kerajaan pemerintah. RM3.3billion dalam konteks sebuah negara tidaklah sebesar mana, boleh sahaja di korek sana dan sini. Saya rasa ramai yang bersetuju, kita lebih sanggup menggadaikan pembangunan, menghentikan pembangunan infrastruktur kalaulah kerajaan tidak punya duit dan terpaksa menggadai subsidi dan menekan rakyat. Kerajaan sehingga kini masih belum berjaya untuk tunjukkan model baik contoh perbelanjaan berhemah bila mana mereka sendiri boros.

Dalam masa yang sama, saya juga tidak sepenuhnya bersetuju bahawa rakyat perlu dimanjakan dengan subsidi. Subsidi-subsidi lain seperti pertanian, makanan perlu dirasionalkan semula secara beransur-ansur, agar rakyat lebih bermandiri. Dalam soal minyak yang memberi kesan berantai, nilai 20sen adalah terlalu mahal.

September 12, 2013 Posted by | Uncategorized | Leave a comment

Mesir & Morsi: Keadaan yang sudah dijangka. Di mana silapnya?

Suasana yang berlaku pada pagi Khamis 4 Julai 2013 di Mesir saya sifatkan sebagai satu tragedi yang mendebarkan mengulangi detik drama Februari 2011 apabila pemerintahan 30 tahun Hosni Mubarak ditamatkan riwayat. Ada dua pandangan yang terpisah mentafsirkan kejadian ini; dari satu sudut ekstrem menganggap ini sebagai pembunuhan  demokrasi secara terang-terangan, dalam satu sudut ekstrem yang lain pula memandang ini sebagai satu wadah kebangkitan rakyat. Dr. Mohamed Morsi seorang hafiz dari gerakan Ikhwanul Muslimin yang dipilih rakyat melalui proses demokrasi dinamakan pilihanraya digulingkan oleh tentera diketuai Menteri Pertahanan yang juga Kolonel General Angkatan Tentera Mesir Abdul Fatah Al-Sisi yang dilantik sendiri oleh Morsi pada Ogos 2012 bagi menggantikan Mohamed Hussain Tantawi; yang seterusnya melantik Hakim Tertinggi Mesir Adly Mansour sebagai Presiden sementara. Kesemua mereka ini merupakan sekutu yang diangkat Morsi sendiri dalam kempen mengukuhkan kepimpinan kerajaan beliau di Mesir.

Masyarakat dunia Islam termasuk di Malaysia menangisi kejatuhan pemerintahan Dr. Morsi yang dianggap begitu berwibawa, dan bakal mendaulatkan Islam di bumi Mesir menggantikan pemerintahan sekular dan kuku besi yang sudah berdekad lamanya di bawah Hosni Mubarak. Di laman-laman sosial penuh dengan artikel serta video yang mengangkat Morsi, dan tidak kurang juga teori konspirasi yang mengaitkan kejatuhan Morsi dengan pihak barat, terutama Amerika Syarikat dan Israel. Keadaan ini dampak klise, tetapi mungkin ada benarnya.

Sejak menaiki tampuk pemerintahan, Morsi telah dengan tegas mahu menegakkan daulah Islamiyah di bumi Mesir. Dimulakan dengan penggubalan perlembagaan baru Mesir yang meletakkan Islam diperingkat tertinggi dalam undang-undang, sehinggalah kepada membuka pintu Rafah yang menjadi akses kepada sedikit langkah pembebasan Al-Quds. Hal ini sudah pastinya tidak disenangi musuh-musuh Islam, lebih-lebih lagi rejim Zionis yang menakluki dan menekan bumi Palestin sekian lama, juga kuncunya Amerika Syarikat. Oleh itu, mungkin juga teori konspirasi mengaitkan dua sekutu ini ada kebenarannya. Soalnya, adakah tuduhan ini disokong dengan fakta dan bukti yang sahih. Wallahu a’lam. Saya tidak mahu bercakap tanpa bukti yang jelas, hanya serkap jarang yang akhirnya mengundang fitnah. Apa bezanya kita dengan mereka, jika begitulah caranya.

Artikel ini bukanlah untuk meletakkan beban kesalahan di bahu Morsi, juga bukan berniat untuk memperlekehkan langkah beliau dalam menegakkan syiar Islam, tetapi lebih menjurus kepada satu timbal balik realiti yang pernah saya nukilkan suatu ketika dahulu. Artikel yang saya tulis setahun yang lalu iaitu pada 25 Jun 2012 ingin saya ketengahkan; dan moga kita dapat renungkan. Anda boleh klik disini untuk artikel saya “Kebangkitan Dataran Tahrir: Tanggungjawab besar buat Dr. Morsi.”

Kesilapan Morsi

Dalam empat perenggan Cabaran Mendatang Buat Morsi, saya menjelaskan bagaimana liku-liku kepayahan yang bakal dilalui oleh Morsi untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat setelah menang dengan begitu tipis dalam pilihanraya Presiden. Untuk rekod, Morsi menewaskan bekas Perdana Menteri dari parti pro-Mubarak Ahmed Shafiq pada pilihanraya yang lalu dengan undi sebanyak 13,230,131 iaitu hanya 51.7% berbanding Shafiq 12,347,380 undi. Morsi bukan sahaja menjadi pemimpin masyarakat Islam Mesir, sebaliknya masyarakat majmuk yang terdiri daripada golongan minoriti Kristian, puak sekularis, liberalis, sosialis dan puak-puak elit yang lain. Perubahan mendadak yang dilakukan dengan mewujudkan perlembagaan Islam mungkin sedikit sebanyak telah memberikan tamparan hebat buat masyarakat bukan Islam yang terkejut dan berasa tidak selamat dengan perubahan ini. Ya benar, Islam itu syumul. Tetapi manusia secara lahiriahnya memang akan cepat menolak perubahan, sebab itu perubahan perlu dilakukan secara perlahan, bukan secara mendadak sepertimana yang berlaku di Mesir.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan status kehidupan rakyat Mesir yang tiada perubahan. Ya benar, masakan pemerintahan setahun jagung boleh mengubah segala-galanya menjadi baik. Tetapi bagi rakyat, apa mereka peduli, kehidupan yang terus menekan memaksa mereka untuk lantang bersuara. Kos sara hidup yang terus meningkat, dan dikhabarkan juga kos eletrik yang melambung tinggi serta bekalan eletrik yang begitu terhad serta banyak gangguan bekalan memburukkan keadaan rakyat Mesir. Sehingga dikhabarkan kepada saya bahawa premis-premis perniagaan dipaksa tutup pada waktu tertentu untuk menghadkan penggunaan eletrik di sana. Polisi kerajaan pemerintah di bawah Morsi yang tidak mendukung prinsip kemakmuran rakyat menempelak keseluruhan agenda Islamisasi syumul yang cuba dibawa beliau.

Kalau anda ikuti perkembangan politik Mesir selepas pemerintahan Morsi, kebanyakkan angin perubahan yang cuba dibawakan beliau adalah berkaitan politik keislaman, tidak banyak berunsurkan kemakmuran ekonomi. Mungkin pada beliau belum masanya. Pada beliau, Islam itu lebih utama untuk ditegakkan. Sebab itu dalam banyak video yang dimuat naik di Youtube, nada ketegasan mewujudkan negara berpaksikan Al-Quran dan As-Sunnah berkumandang di setiap corong ceramah pimpinan politik Ikhwanul Muslimin. Adakah nada-nada ini disenangi 49% golongan yang tidak mengundi Morsi, terutama golongan Kristian di sana? Golongan ini hari ini di Dataran Tahrir setelah berhimpun sekian lama menuntut Morsi berundur. Paksi penyokongnya kini berada di Dataran Raba’ah.

Dalam tingkat yang lain pula, Morsi juga seharusnya berhati-hati dengan konco-konco Mubarak yang telah memerintah hampir 30 tahun. Sudah pastinya, beliau telah membentuk satu empayar yang kuat di Mesir dengan segala sisi dikawal oleh puaknya. Sebab itu lah masalah begitu mudah diwujudkan. Contohnya, dalam bidang janakuasa elektrik yang dikuasai kroni Mubarak, saya difahamkan gangguan bekalan eletrik di Mesir sengaja dilakukan untuk memberikan tekanan kepada kerajaan. Begitu juga dalam barang keperluan asas, juga dikawal oleh puak-puak pro Mubarak yang masih banyak di Mesir. Mereka berjaya mengawal harga barangan sesuka hati mereka untuk memberi lebih tekanan ke atas ekonomi Mesir.

Pengaruh kuasa tentera begitu kuat di Mesir. Ini merupakan kali pertama dalam sejarah Mesir sejak dari zaman Firaun, Mesir melalui satu proses demokrasi yang  melalui pilihanraya. Hampir 30 tahun Mesir ditadbir oleh diktator ketenteraan, rakyat sudah masak, tentera sudah selesa berkuasa. Idea bahawa tentera lebih tinggi daripada mana-mana kuasa lain menjadi cabaran besar sejak mengambil alih kerusi Presiden. Sejak awal lagi, pemecahan kuasa Presiden oleh tentera menunjukkan pihak tentera terus mahukan kuasa. Hasilnya, lihatlah, atas nama kehendak majoriti rakyat, tentera telah mencabuli prinsip suci demokrasi.

Morsi perlu bertindak bijak

Sebab itu, sebaik sahaja menaiki tampuk pemerintahan kerajaan Mesir, seharusnya Morsi merangka satu pelan strategik menguruskan keadaan-keadaan ini. Pelan islamisasi perlu dilakukan secara sederhana dan bukan secara tergesa-gesa dalam masyarakat majmuk. Manusia secara semulajadi akan terus menolak perubahan drastik yang berlaku pada diri mereka, seolah-olah kehidupan mereka selama ini di’hijack’. Mana ada pelajar yang seronok bila cikgu umumkan kelas tambahan di waktu malam menjelang musim peperiksaan. Mungkin ini bukan analogi yang baik, tetapi saya cuma mahu menunjukkan sungguhpun perkara itu mendatangkan kebaikan, tidak ramai yang sukakan perubahan, lebih-lebih lagi mendadak.

Dalam konteks di Mesir, masalah utama bukanlah soal keruntuhan akhlak, atau krisis agama yang semakin menular, sebaliknya keadaan sosio-ekonomi yang begitu mendesak rakyat. Harga barang keperluan melambung naik, sistem perbekalan utiliti yang tidak terurus dan dana rakyat yang tidak disalurkan secara telus menyebabkan rakyat begitu dahagakan perubahan membawa kepada peristiwa Februari 2011. Sebagai pemimpin yang baik, Morsi seharusnya cakna dengan isu-isu ini dan memandang serius untuk menjadikan ia sebagai agenda utama negara, mengatasi agenda-agenda lain untuk mendapatkan kedudukan yang kukuh sebelum dapat mewujudkan sebuah institusi berpelembagaan berteraskan al-Quran. Saya bukan katakan soal agama perlu diketepikan, tetapi dalam konteks masyarakat Mesir yang rakyatnya tertekan, juga Gereja yang agak kuat, faktor pemulihan ekonomi akan mengangkat Morsi sebagai seorang pemimpin Islam berwibawa dan memberi keyakinan kepada rakyat tidak kira latar agama untuk menerima agenda perubahan beliau bagi membentuk kerajaan Islam di Mesir. Malangnya, 80 tahun pengalaman Ikhwanul Mislimin dalam kancah politik Mesir tidak berupaya untuk memahami tuntutan ini. Sepanjang sejarah Ikhwan, ribuan pejuangnya telah syahid dan ratusan ribu dipenjarakan kerana menentang rejim diktator Jemal Abd Nasser, Anwar Sadat dan Hosni Mubarak.

Dalang Konspirasi Menjatuhkan Morsi dan Gerakan Islam

Saya pasti wujud konspirasi besar-besaran di peringkat dalaman Mesir yang disokong oleh anasir luar untuk menjatuhkan Morsi dan gerakan Islam Ikhwanul Muslimin. Bukti yang paling jelas adalah apabila siding media Al-Sisi yang mengumumkan pengusiran Morsi daripada kerajaan oleh tentera dihadiri oleh pemimpin pembangkang Mohamed ElBaradei dan lebih mengejutkan Imam Besar Al-Azhar (Grand Imam of Al-Azhar) dan Presiden Universiti Al-Azhar Sheikh Ahmed Al-Tayeb. Sebelum menjadi Imam Besar Al-Azhar, Tayeb merupakan ahli jawatankuasa Parti Demokratik Kebangsaan (NDP) iaitu parti naungan Mubarak. Pada tahun 2010, Mubarak melantik beliau menjadi Imam Besar setelah kematian Muhammad Sayyid Tantawi. Sebelum itu, Tayeb telahpun menjadi Presiden Al-Azhar sejak tahun 2000 dan menjadi Mufti Mesir dibawah kerajaan Mubarak dari tahun 2002-2003. Mungkin ramai yang mencela sokongan Tayeb keatas penggulingan kerajaan Morsi termasuklah Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sendiri yang mengkritik secara terbuka di laman Facebook beliau, tetapi yang pasti, Tayeb bukanlah dari kalangan gerakan Morsi dan sudah meletakkan pendirian sekian lama menentang Ikhwan. Tindakan Tayeb ini telah dikritik hebat oleh Jabhah Ulama Al-Azhar iaitu sebuah badan terkemuka yang menghimpunkan ulama Al-Azhar.

Dari dalam juga, apa yang saya bincangkan tadi mungkin banyak benarnya. Bagi penganut minoriti Kristian, gerakan Islam yang mengejut dilakukan Morsi mungkin tidak banyak disenangi mereka. Dalam siri rampasan kuasa minggu lalu, Ketua Gereja Koptik (Coptic Pope) Tawadros II turut bersama Sisi menyokong tentera menggulingkan Morsi. Dan lebih mengejutkan lagi, Raja Arab Saudi, Raja Abdullah menghantar mesej ucapan tahniah kepada Adly Mansour atas perlantikan sebagai pemimpin sementara, tidak langsung mengutuk rampasan kuasa tersebut. Ramai yang mungkin masih belum jelas bagaimana hubungan Arab Saudi yang begitu erat dengan Amerika Syarikat, sekutu terkuat mereka. Polisi Morsi yang banyak mengecam tindakan sekutunya mungkin tidak digemari ketua negara terletaknya Kaabah itu.

Saya tidak mahu membuka teori kaitan kuasa luar dengan kejatuhan Morsi walaupun saya tidak menolak kemungkinan itu. Yang berfakta, Amerika Syarikat sememangnya sudah mempunyai hubungan yang begitu rapat dengan pihak tentera sekalipun selepas pemerintahan Morsi. Bantuan kewangan yang diterima angkatan tentera Mesir dari Amerika setiap tahun berjumlah 1.3 billion dollar sejak tahun 1987. Sejumlah 71.6 billion dollar diberikan oleh Amerika kepada Mesir sejak 1948 hingga 2011.

Untuk tahun 2014 sahaja, Presiden Obama telah menyediakan 1.55 billion dollar untuk bantuan kewangan Mesir, yang mana 1.3 billion adalah khusus untuk ketenteraan dan selebihnya hanya 250 juta dollar untuk sektor ekonomi. Angka ini dilaporkan dalam laporan Kongres Amerika Syarikat bertarikh 27 Jun 2013.

Yang jelas, banyak pihak musuh-mush Morsi dan Ikhwan telah berjaya mengambil kesempatan atas kelemahan pemerintahan sedia ada untuk menggulingkan kerajaan secara tidak demokrasi. 3 elemen besar yang mendominasi masyarakat iaitu pengaruh gereja Koptik dan pengikut muslim dari kalangan Sheikh Al-Azhar dan pembankang seterusnya disokong oleh kekuatan kuasa tentera pada saya sudah cukup memadai untuk menjayakan operasi ini sekalipun tidak dengan bantuan kuasa luar. Sungguhpun, saya agak ragu-ragu bagaimana plot penceritaan kisah ini begitu terancang, dilakukan dalam masa kurang 2 tahun.

Respons di Malaysia

Saya sangat kecewa dengan beberapa kenyataan oleh pegawai dari kerajaan Malaysia khususnya tiada langsung kenyataan rasmi daripada Perdana Menteri Malaysia berhubung pendirian Malaysia ke atas pengusiran Dr. Morsi. Juga, amaran yang dikeluarkan kepada pelajar-pelajar Malaysia di Mesir supaya tidak terlibat dan menyuarakan sokongan kepada mana-mana pihak termasuk yang menyokong Morsi juga membawa mesej yang cukup salah seolah Malaysia relakan sahaja dengan apa yang terjadi di sana. Ya, saya tidak nafikan Malaysia perlu menghormati dan tidak campur tangan dalam urusan negara lain, tetapi sebagai sebuah negara yang berdaulat, kita juga punya hak untuk menyatakan pendirian tegas sebagaimana kita telah menyatakan banyak pendirian ketika krisis melanda dunia, contohnya di Bosnia, Syria dan Palestin. Setidaknya, kita harus menentang penggulingan Morsi atas prinsip demokrasi, jika tidak persaudaraan Islam.

Yang paling menarik perhatian saya adalah perdebatan tentang adakah boleh ini berlaku di Malaysia. Siapa boleh menolak kemungkinan ini? Wallahu alam. Yang pasti, ketika mana Arab Spring bermula satu ketika dahulu, wujud suara-suara sumbang yang mahu membawa Arab Spring ke Malaysia. Keadaan pemerintahan di Malaysia yang penuh korupsi kononnya, dan tekanan hidup kepada rakyat akan membawa sengketa yang akhirnya mengundang Arab Spring Malaysia. Ramai yang menyanggah dakwaan ini dengan mengatakan ini tidak mungkin terjadi. Keadaan hidup rakyat Malaysia adalah jauh lebih baik berbanding di sana. Ya benar, tapi saya juga seperti tadi tidak boleh menolak kemungkinan itu bakal terjadi, terutama apabila wujud bukti-bukti nyata bahawa ada gerakan-gerakan dalam negara yang menerima dana dari luar, untuk membantu menggerakkan apa yang mereka panggil sebagai ‘demokrasi’. Rakyat Malaysia seharusnya lebih berwaspada dengan gerakan-gerakan ini.

Dalam pada masa yang sama, saya juga ingin mengingatkan kepada puak-puak ini bahawa kalau Arab Spring membawa kepada perubahan yang berlaku di Mesir dengan mengangkat Morsi melalui proses demokratik, 2 tahun selepas itu digulingkan melalui proses yang mereka katakan juga ‘demokratik’, apa mungkin ini juga boleh berlaku sekiranya Arab Spring ala Malaysia berlaku. Apa mungkin kerajaan Islam yang bakal terbentuk selepas kemenangan puak tertentu bakal digulingkan menerusi bantuan oleh kuasa luar, dan tekanan yang diberikan dari dalam. Sebab itulah, dalam amalan berpolitik, prinsip itu penting. Jangan kerana gila dan tamakkan kuasa, prinsip digadai. Sanggup untuk berkompromi dengan puak-puak yang berkepentingan tanpa menganalisa panjang sejauh mana ini akan terkesan.

Masa Depan Mesir

Saya melihat masa depan Mesir semakin samar. Rampasan kuasa oleh tentera telah menghantar satu mesej yang salah kepada masyarakat untuk mempercayai dan mengangkat sistem demokrasi yang telus di Mesir. Pilihanraya umum yang dicadangkan pada Januari tahun hadapan bakal berdepan dengan seribu satu masalah. Apakah konteks peranan kerajaan yang bakal diwujudkan, bagaimanakah pemusatan kuasa tentera dapat dikurangkan, dan yang lebih penting untuk pak nujum tilikkan adalah berapa lama kerajaan baharu itu akan berkekalan. Ikhwan sudah dari awal lagi menolak proses pilihanraya itu yang disifatkan telah mencabul pilihan rakyat pada pilihanraya yang lalu. 13juta penyokong Ikhwan tidak akan berdiam diri. Saya kira boikot bukanlah jalan pilihan mereka, tetapi sudah terang-terangan kini tumpahan darah adalah penyelesaian yang dipilih kedua pihak.

Revolusi Mesir bakal berubah menjadi perang saudara, atau mungkin Perang Salib edisi kedua antara puak Islam dan Kristian Koptik. Kejatuhan Morsi yang pada awalnya berkaitan kejatuhan politik, terus dikaitkan sebagai konspirasi untuk menjatuhkan pemerintahan Islam di Mesir. Sekali gendang agama dipalu,irama jelek tidak enak itu akan terus berkekalan. Buktinya, anda boleh mengikuti banyak laporan bagaimana serangan-serangan bermotifkan agama antaranya; umat Islam ditembak secara rambang ketika sedang menunaikan solat berjemaah, beberapa penyokong pembangkang beragama Kristian dikelar dan dibunuh, juga yang terbaru paderi gereja koptik yang dibunuh. Umat Islam Mesir telah mula menggelar ini sebagai jihad perjuangan menegakkan syiar Islam di bumi Mesir. Kumpulan Salafi Jihadi misalnya, sama sekali tidak akan berdiam diri.

Apabila jihad menatap dibibir, definisinya terlalu besar. Artikel ini, juga kedangkalan ilmu saya tidak layak untuk bicarakannya. Tetapi, saya khuatir kalau pentafsirannya salah, adakah Mesir bakal berdepan dengan antara krisis kemanusian terburuk dalam sejarah sepertimana di Bosnia ataupun Syria juga Rohingya. Hari ini, penyokong-penyokong Morsi sudah mulakan provokasi dengan mengusung keranda-keranda sebagai lambang kejayaan membunuh paderi geraja kristian. Adakah ini sahaja penyelesaian kemelut di Mesir? Dan, adakah ini sejajar dengan anjuran syariat Islam?

Sekali lagi, artikel ini hanya pandangan dhaif sahaja yang perlu diperhalusi dari segenap sudut.

July 10, 2013 Posted by | Politic | , , , , , , , , , , , , , , , , | 3 Comments

Blackout 505 Padang Merbok: PR tiada harapan ke Putrajaya

Saya sempat menghadiri perhimpunan rakyat #Blackout505 di #PadangMerbok622 semalam. Seperti biasa, tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membuat tinjauan dari kaca mata sendiri keadaan di sana untuk memudahkan saya menghuraikan lebih lanjut dengan adil dalam blog ini. Saya harap penulisan kali ini juga adil.

Tidak seperti perhimpunan sebelum-sebelum ini, saya tidak punya apa-apa pengetahuan berkaitan objektif perhimpunan kali ini. Disebabkan begitu sibuk dengan urusan harian, saya hanya mengikuti perkembangan perancangan menerusi laman maya sehinggalah hari ini saya sendiri hadir di Padang Merbok. 3 objektif perhimpunan kali ini adalah:

  1. Menuntut Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) meletakkan jawatan
  2. Menuntut pilihanraya diadakan semula di kesemua kerusi yang dipetisyenkan
  3. Menghentikan proses persempadanan semula sehingga SPR baru yang bebas dibentuk

Dengan hati yang terbuka, dan saya juga pernah mendesak sebelum ini di laman maya, saya amat bersetuju dengan tuntutan agar Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Pilihanraya meletakkan jawatan atau dipecat daripada jawatan ata kegagalan mereka memastikan proses PRU13 berlangsung dalam keadaan yang tidak meragukan. Kegagalan untuk memastikan dakwat kekal menjadi kekal adalah dosa terbesar yang bukan sahaja telah merencatkan keseluruhan proses pilihanraya malah telah memburukkan imej Barisan Nasional sebagai parti yang menang secara sah untuk membentuk kerajaan di Malaysia. Pada hemat saya, keduanya sudah hilang integriti.

Tapi masalahnya, pada tuntutan kedua iaitu dengan sewenang-wenangnya mahu diadakan pilihanraya semula ke semua 50 kerusi yang dipetisyenkan. Ini termasuklah kerusi yang difailkan oleh Barisan Nasional sendiri. Adakah ini wajar? Tuntutan ini akan meninggalkan kesan berantai (chain effect) dan tidak akan ada titik pengakhiran dalam erti kata keadilan sistem pilihanraya. Malah, tuntutan ini hanya akan memudaratkan.

Cuba anda bayangkan, sekiranya ini dibenarkan terjadi, kesemua 50 kerusi yang dipetisyenkan diadakan pilihanraya semula tanpa ada perbicaraan mahkamah secara adil dengan bukti yang kukuh dikemukakan. Katakanlah, dalam kesemua 50 kerusi itu, pembangkang menang dan berjaya membentuk kerajaan persekutuan. Secara langsung, pihak yang kalah iaitu Barisan Nasional juga telah punya ‘hak’ untuk mengemukakan petisyen di mahkamah, dan secara asas keadilan yang diletakkan pada Blackout505, setiap kerusi yang dipetisyenkan perlu diadakan pilihanraya semula. Maka, kalau esok saya kemukakan petisyen (saya tahu masa telah tamat, tapi ini contoh) untuk kesemua kerusi di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan (dengan anggapan saya punya wang yang banyak untuk memfailkan), adakah secara langsung pilihanraya semula perlu diadakan? Inilah jenis mesej moral yang akan disampaikan kepada masyarakat. Pihak yang kalah akan kemukakan petisyen, dan setiap kali itu pilihanraya semula terpaksa diadakan.

Saya menyertai perhimpunan bermula dari Stesen Keretapi Kuala Lumpur menyertai kumpulan dari Brickfields dan juga Universiti Malaya. Selepas itu, kami bersama kumpulan dari Masjid Negara berjalan dengan aman dan tenang menuju ke lokasi di Padang Merbok. Saya cukup terharu melihat kerjasama yang diberikan oleh pegawai polis trafik Kuala Lumpur yang mengawal lalu lintas, sekalipun begitu banyak rakyat tidak punya akal berjalan di atas jalan menghalang lalu lintas sehingga menyebabkan kesesakan teruk. Mungkin atas nama perhimpunan rakyat, jalan itu pun mereka anggap jalan mereka sendiri sampai terlupa tanggungjawab untuk menghormati rakyat yang lain. Tahniah dan syabas buat pasukan polis Malaysia.

Sesampai saya di Padang Merbok kelihatan lautan manusia berbaju hitam begitu bersemangat. Sungguh kagum. Namun, masih ramai daripada mereka yang terumbang-ambing mencari hala tuju. Sebabnya, perhimpunan ini tidak punya satu perancangan yang baik, apakah agenda sebenar yang ingin dilakukan, dan apakah yang ingin dicapai. Adakah pada jam 2petang semua berkumpul di tengah padang, jam 4 petang hantar memorandum atau apa? Saya sendiri terpinga-pinga mencari laluan sendiri dan terdengar suara kuat terpekik-pekik, kebiasaan untuk program ceramah pakatan rakyat. Saya mendekati pentas yang terletak jauh tersorok di balik rimbunan pokok, saya pun tak faham kenapa tidak diletakkan pentas ditempat yang lebih strategik untuk orang awam dapat duduk dan mendengar dengan selesa. Ramai daripada kalangan yang hadir tidak mendapat pandangan yang jelas ke arah pentas. Sungguh mengecewakan pengurusan logistik perhimpunan kali ini.

Tidak cukup dengan itu, ini adalah yang paling kelakar. Pemidato-pemidato yang dijemput naik ke pentas entah daripada mana sahaja. Ketika saya menghampiri, pemidato pertama yang saya dengar bercakap soal tuntutan royalti minyak. Padahal perhimpunan ini soal keputusan PRU. Celah mana datang isu royalti nak dibangkitkan. Seolah-olah kau datang majlis kenduri kahwin adat tradisional Melayu dan mengharapkan chicken chop dihidangkan. Tak selari. Selepas itu, dijemput pula wakil daripada masyarakat orang asal (asli). Ini paling kelakar dan mengecewakan. Beliau bukan main lantang cakap lintang pukang soal hak mereka sebagai antara rakyat Malaysia yang ditipu kerajaan, dalam pada masa yang sama secara terbuka memohon maaf yang beliau tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik. Seorang pemimpin kanan masyarakat orang asli, yang mengiktiraf dirinya sebagai rakyat Malaysia, dan menuntut hak sebagai rakyat Malaysia, tetapi tidak mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan Malaysia. Layakkah kamu menuntut hak? Memalukan.

Datang pula seorang pemuda yang diumumkan mewakili Pertubuhan IKRAM Malaysia. Terkejut juga saya sejak bila IKRAM terlibat secara langsung menyokong perjuangan pembangkang. Tapi yang mengecewakan dan memalukan adalah wakil Ikram tidak mampu langsung berpidato dan hanya membuang masa menceritakan latar belakang beliau, seorang peniaga, selempangnya diberikan oleh DS Anwar dan banyak lagi cerita-cerita mengarut. Sehinggakan pengerusi majlis terpaksa memotong ucapan beliau. Dari mana mereka kutip pemidato ini pun saya tak pasti. Selepas selesai sahaja ucapan beliau, sungguh ironi apabila saya melihat sekumpulan anak muda di baris hadapan yang selama ini bersorak semangat, bangun meninggalkan majlis dengan papan sepanduk “CERAMAH BOSAN”.

Sungguh ironi. Keseluruhan perhimpunan semalam begitu ironi. Kehadiran pimpinan tertinggi yang sangat lambat, seolah-olah mereka sudah tidak bersama perjuangan rakyat. Mereka berada dalam satu tahap lebih tinggi daripada rakyat. Makhluk ini sudah selesa dan makin menjelma menjadi pemimpin Barisan Nasional yang mereka cemuh selama ini. Kit Siang dan Mat Sabu hadir lebih kurang jam 3petang, dan sehingga jam 4petang saya meninggalkan majlis, kelibat Anwar Ibrahim dan Rafizi tidak langsung kelihatan.

Apa kejadahnya penganjur rasmi perhimpunan itu tidak bersama dengan demonstran seawal mungkin. Penganjur rasmi seharusnya berada di lokasi seawal mungkin untuk memastikan keadaan di lokasi selamat dan aman. Sebab itulah tanggungjawab mereka. Tatkala mereka menjanjikan perhimpunan itu selamat dan amat, pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan keadaan itu pula sedang asyik menikmati juadah enak di rumah, sedangkan rakyat dibiarkan sendirian di lapangan. Saya sudah biasa dengan keadaan ini. Ketika Bersih 3.0 pun begitu juga. Adakah ini kebetulan, atau memang sifat mereka sudah begitu.

Bakal Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sungguh berjiwa rakyat pula dilaporkan hadir pada jam lebih kurang 5 petang. Sungguh pemimpin berjiwa rakyat. Tatkala rakyat sudah berkumpul sejak awal pagi, momentum begitu tinggi, semangat begitu membara, pimpinan utama goyang kaki di rumah. Saya tidak mahu mendengar sebarang alasan, sungguhpun sibuk sekalipun pada hari ini, seharusnya 100% fokus perlu diberikan pada perhimpunan semalam, bukan pada agenda lain, kerana perhimpunan semalam seharusnya menjadi titik tolak kebangkitan rakyat menentang keputusan PRU13 yang mahu menghantar kamu ke Putrajaya, malangnya tidak.

Blackout505 PadangMerbok622 adalah kegagalan terbesar pembangkang

Keseluruhan program semalam telah menemui kegagalan. Padang Merbok tidak penuh langsung, malah hanya separuh sahaja. Program semalam tidak punya perancangan jelas, dan lebih mengecewakan tiada tindakan jelas apa mahu dilakukan pada hari itu, dan apa pula tindakan susulan untuk memastikan Pakatan Rakyat ke Putrajaya dengan segera. Yang ada hanyalah pekikan laungan kosong di atas pentas yang entah apa-apa, oleh pemimpin-pemimpin yang syok sendiri sahaja. Saya mengharapkan perhimpunan semalam adalah simbolik kepada perjuangan untuk membantah keputusan PRU13, mungkin akan ada satu memorandum bantahan di hantar ke SBP YDP, atau juga mungkin setidaknya saudara Rafizi sebagai orang kuat yang menguruskan petisyen mahu menceritakan apakah hala tuju selepas ini. Tapi, di akhir perhimpunan, rakyat masih terpinga-pinga. What’s next? Adakah rakyat di arahkan untuk tunggu sahaja? Tunggu apa? Dan sampai bila?

Lebih malang lagi untuk pembangkang, program semalam berakhir dengan begitu aman sekali. Tahniah kepada Kementerian Dalam Negeri yang tidak menggila mengerahkan Unit Simpanan Persekutuan ke sana, tahniah kepada pasukan polis yang menjaga lalu lintas, tahniah kepada DBKL yang tidak sedikitpun mengarahkan perhimpunan dihentikan, tahniah kepada Menteri Wilayah yang turun meninjau. Tahniah kepada seluruh pimpinan Barisan Nasional dan seluruh pendokong keamanan Barisan Nasional kerana tidak menggila campur tangan yang akhirnya mencetuskan huru-hara. Tahniah, kerana disebabkan anda berbuat begitu, Blackout505 semalam tidak langsung menjadi tajuk perbualan utama, bukan lagi di bawah spotlight seperti Bersih 3.0. Hari ini, orang sudah bercakap soal jerebu berbanding apa yang berlaku semalam di Padang Merbok.

Apa yang lebih malang untuk Pakatan Rakyat daripada kehadiran rakyat yang sendu. Sedih. Saya menjangkakan Padang Merbok akan penuh, bersesak di tengah rakyat marhein yang dahagakan perubahan. Tapi, saya boleh berlari-lari di tengah padang bermain polis sentri. Kehadiran yang rendah mungkin disebabkan oleh momentum rakyat yang makin hilang dek kerana terlalu banyak perhimpunan yang sama diadakan sebelum ini, dan akhirnya tidak ada satu tindakan khusus. Rakyat sudah mula muak, dan merasakan pergi ke demonstrasi hanyalah membuang masa. Momentum rakyat sudah berkurangan, dan saya pasti kalau diadakan lagi perhimpunan seumpama ini, bilangan yang hadir pasti akan jauh menyusut.

Sungguh malang buat Pakatan Rakyat terutama Anwar Ibrahim, tanpa perancangan yang teliti sebaliknya hawa nafsu dan ego menguasai diri, kegilaan pada kuasa bermaharaja di hati, tinjauan saya semakin lebih meyakinkan bahawa mereka semakin jauh dari Putrajaya.

 

June 23, 2013 Posted by | Uncategorized | , , , , , , , , , , , , , , , , | 2 Comments

RASMI: SENARAI PENUH KABINET MALAYSIA 2013

Perdana Menteri  – Datuk Seri Najib Tun Razak (UMNO)
Timb. Perdana Menteri  – Tan Sri Muhyiddin Yassin (UMNO)

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
- DS Jamil Khir Baharom (UMNO) | Timbalan – P.Waythamoorthy (Senator) (Hindraf Co-Founder)
- DS Abdul Wahid Omar (Senator) (Maybank CEO) | Timbalan – Datuk Razali Ibrahim (UMNO)
- DS Idris Jala (Senator) (Ex-Shell Chairman, Ex-MAS)
- Datuk Joseph Kurup (PBRS)
- DS Shahidan Kassim (UMNO)
- Hjh Nancy Shukri (PBB)
- Datuk Paul Low Seng Kwan (Senator)

Menteri Pertahanan – DS Hishamuddin Hussein (UMNO) | Timbalan – Dato’ Abdul Rahim Bakri (UMNO)

Menteri Kewangan
- DS Najib Razak (Menteri I) (UMNO) | Timbalan - Datuk Ahmad Maslan (UMNO)
- Husni Hanadzlah (Menteri II) (UMNO)

Menteri Pelajaran & Pengajian tinggi
- TS Muhyiddin Yassin (Menteri I) (UMNO) | Timbalan - Datuk Mary Yap Kain Ching (PBS)
- Datuk Seri Idris Jusoh (Menteri II) (UMNO) | Timbalan - P.Kamalanathan (MIC)

Menteri Dalam Negeri  – DS Dr. Zahid Hamidi (UMNO)| Timbalan – Datuk Wan Junaidi (PBB)

Menteri Kerja Raya – Dato’ Fadillah Yusof (PBB) | Timbalan - Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (UMNO)

Menteri Pengangkutan  –  (Dipangku) DS Hishammuddin Hussein (UMNO) | Timbalan – Datuk Aziz Kaprawi (UMNO)

Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri – DS Mustapa Mohamed (UMNO) | Timbalan – Dato’ Hamzah Zainuddin (UMNO)

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan – Dato’ Hassan Malek (UMNO) | Timbalan – Dato’ Paduka Ahmad Bashah Hanipah (Senator) (UMNO)

Menteri Luar  – Datuk Seri Anifah Aman | Timbalan - Datuk Hamzah Zainuddin
Menteri Komunikasi dan Media – Ahmad Shabery Cheek

Menteri Belia dan Sukan – Khairy Jamaluddin (UMNO) | Timbalan - Datuk M.Saravanan (MIC)

Menteri Wilayah Persekutuan -DS Tengku Adnan Mansor (UMNO) | Timbalan - Dato’ Dr. Loga Bala Mohan (Senator)

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan – DS Nazri Aziz (UMNO) | Timbalan – Dato’ Joseph Salang (PRS)

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar – DS G Palanivel (MIC) | Timbalan - Dato’ Dr. James Dawos (PBB)

Menteri Komunikasi dan Multimedia – DS Ahmad Shabery Cheek (UMNO) | Timbalan - Datuk Jailani Johari (UMNO)

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi – DS Douglas Unggah Embas (PBB) | Timbalan - Dato’ Noriah Kasnon (UMNO)

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani – DS Ismail Sabri (UMNO) | Timbalan - Dato’ Tajuddin Abdul Rahman (UMNO)

Menteri Kesihatan – DS S. Subramaniam (MIC) | Timbalan - DS Dr. Hilmi Yahya (UMNO)

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi – Datuk Ewon Ebin (Naib Presiden UPKO) | Timbalan - Datuk Dr Abu Bakar Mohd Diah

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air – Datuk Dr. Maximus Ongkili (PBS) | Timbalan - DS Mahdzir Khalid (UMNO)

Menteri Perumahan dan Kesejahteraan Bandar – Dato’ Abdul Rahman Dahlan (UMNO) | Timbalan - Datuk Halimah Saddique (UMNO)

Menteri Sumber Manusia – Datuk Richard Riot Anak Jaem (SUPP) | Timbalan - Dato’ Ismail Abdul Mutalib (UMNO)

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah – DS Shafiq Apdal (UMNO) | Timbalan - Datuk Alexander Nanta Linggi (PBB)

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat –  Datuk Rohani Karim (UMNO) | Timbalan - Datuk Azizah Mohd Dun (UMNO)

MENTERI DIGUGURKAN: Datuk Shaziman Abu Mansor, DS Noh Omar

May 15, 2013 Posted by | Uncategorized | , , , , , , , , , | Leave a comment

Rakyat perlu bijak, jangan buta hati sokong membabi buta.

Saya terpanggil untuk menulis artikel ini kerana saya begitu kecewa selepas menerima satu Tweet daripada rakan Twitter berbunyi “kenapa nak demo, kan dah setuju.” yang merujuk kepada tweet saya sebelumnya “… kalau betul RON95 naik, aku akan turun demo!”.

Tweet itu saya tujukan kepada khabar angin yang menyatakan RON95 naik sampai RM2.90/liter. Saya kata tak masuk akal. Kalau nak sebarkan khabar angin pun, biarlah masuk akal. Kabinet masih belum dibentuk, siapa pula yang luluskan keputusan ini. Saya pelik juga dengan bangsa manusia begini. Asyik mahu sebarkan khabar angin untuk timbulkan panik dan kebencian. Tak sedarkah kamu itu lagi keji daripada ahli politik kotor yang kamu asyik salahkan, kalau inilah modus operandi yang kamu gunakan. Hari ini, kecoh pula gas memasak naik harga. Saya telefon sendiri Petronas Gas untuk sahkan dan berita itu palsu juga.

Sebab itu, dari awal dulu lagi saya sudah tekankan, dan berkali-kali saya ingatkan kepada rakan-rakan terdekat, kita ini generasi baru perlukan politik baru. Politik yang lebih matang, yang bercakap dengan fakta dan kebenaran. Bukan dengan emosi. Yang salah kita betulkan, yang betul kita martabatkan. Mungkin saya ada alasan sendiri mengapa saya menyokong Barisan Nasional, walaupun banyak artikel-artikel saya mengkritik kepimpinan Najib Tun Razak, tapi dalam satu artikel saya tahun lepas saya sudah huraikan bagaimana saya masih tidak punya keyakinan untuk Pakatan Rakyat memerintah. Dan saya hormat keputusan anda juga untuk menyokong Pakatan Rakyat, kerana anda punya alasan anda sendiri.

Tetapi, dialog yang lebih terbuka dan ilmiah perlu lebih banyak diadakan. Bukan berdasarkan emosi. Sebab itu, saya lebih gemar duduk melepak dengan 2 rakan saya dari Universiti Islam Antarabangsa, seorang pelajar undang-undang dan seorang pelajar kejuruteraan walaupun mereka berdua penyokong tegar Pakatan Rakyat. Sekali sekala kami bergurau macam orang tiada otak bercakap pasal politik, tetapi dalam kebanyakkan masa kami menilai isu dari sudut fakta dan kebenaran. Banyak antara penjelesan mereka yang saya terima, dan ada juga antara penjelasan saya yang masuk akal bagi mereka.

Saya mengharapkan politik sebegini akan mekar di Malaysia, melihatkan komposisi pengundi muda yang akan terus meningkat sejajar dengan nilai latar akademik yang turut meningkat. Makanya, kematangan politik juga seharusnya meningkat. Zaman ‘dia pemerintah dia tahu semua benda’ ‘Anwar/Rafizi tu bukan calang-calang orang’ sudah berlalu. Rakyat seharusnya menilai kesemua aspek dengan rasional akal.

Saya tanpa segan silu mengkritik Belanjawan 2013 yang dibentangkan Najib Razak tahun lalu. Saya juga tanpa rasa kesal menyalahkan banyak pihak dalaman BN atas prestasi teruk mereka kali ini. Dan saya juga tanpa segan silu mengkritik pembangkang, PAS terutamanya dan manifesto hapuskan tol, turunkan harga kereta serta pendidikan percuma yang saya tidak setuju. Sebab saya percaya ada mekanisme lain yang seharusnya lebih berkesan, dan mekanisme yang dicadangkan itu hanya akan merugikan rakyat. Tetapi itu tidak bermakna status quo sekarang tidak perlu berubah. Saya masih percaya harga minyak terlalu tinggi dan perlu diturunkan, serta sistem pendidikan perlu dirombak besar-besaran.

Sebab itu, tak salah untuk kita mengkritik parti yang kita sokong kerana kita sayangkan parti dan mahukan perubahan. Kita takut orang mula membenci, parti hilang undi dan tewas PRU nanti. Amalan politik baru ini perlu sebati dalam diri. Sebab itu, kenyataan rakan Twitter saya itu mengecewakan saya. Apa kalau Pakatan Rakyat memerintah maka tiada lagi kritikan serta check and balance dari penyokongnya sendiri. Saya akan terus mengkritik dasar kalau ia salah dan perlu diperbetulkan. Sekalipun kini, ketika Barisan Nasional memerintah saya akan terus mengkritik. Saya juga ingin menyeru kepada sahabat-sahabat yang menyokong Pakatan Rakyat untuk terus mengkritik kepimpinan kerajaan sekarang untuk kebaikan, maknanya haruslah dengan fakta bukan membabi buta. Sebab negara ini negara kita bukan negara mereka sahaja.

Bila Azmin Ali dalam kenyataan media hari ini menyebut “Dalam Pakatan Rakyat, kita bebas bersuara mengkritik. Tak macam Umno.” Saya tergelak besar. Jelaskanlah nasib yang menimpa Tunku Aziz Tunku yang kini bekas DAP, dan Hassan Ali bekas PAS. Setidaknya saya boleh pertahankan amalan demokrasi ini dalam Umno apabila Datuk Shahrir Samad masih lagi dicalonkan sekalipun sudah beberapa kali mengkritik secara pedas kepimpinan Barisan Nasional. Masih ingatkah anda tragedi beliau mengkritik BN di Parlimen dan menyokong usul pembangkang? Saya tak kata BN sangat bebas, tetapi pada saya kedua parti masih sama sahaja. Politik baru ini masih baru pada keduanya, tak payah nak tuduh satu sama lain. Kita sebagai generasi intelek ini seharusnya mengajar ahli politik ini untuk berubah.

Dr. Asri pernah berkata “pemerintah yang terlalu lama dan terlalu selesa disokong rakyat akan mula alpa dan leka” (lebih kurang begitu bunyinya). Saya setuju dengan pendirian ini. Sebab itu saya khuatir, sekalipun Pakatan Rakyat memerintah, dengan kondisi sokongan rakyat membabi buta tanpa ada kritikan pedas dari kalangan penyokong sendiri lama kelamaan secara perlahan akan menyebabkan Pakatan Rakyat menjadi sama seperti Barisan Nasional. Kerana terlalu selesa, rakyat sokong membabi buta, mereka juga akan merasa selesa. Akhirnya, pemerintah dilantik rakyat bermaharajalela, rakyat terus menjadi hamba dan diperkuda.

May 10, 2013 Posted by | Politic | , , , , , , , , , , , , , , , , | Leave a comment

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 468 other followers